PETALING JAYA: Ketidaktentuan mengenai subsidi dan potensi pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan 2025 dijangka boleh menjejaskan sentimen pengguna, kata RHB Investment.
Bagaimanapun, pekerjaan yang stabil serta bantuan tunai daripada kerajaan dijangka mengimbangi kebimbangan itu.
“la dijangka menjadi belanjawan mesra pengguna, mengandungi langkah-langkah seperti pemberian tunai, bonus untuk kakitangan awam dan pelepasan cukai pendapatan bagi memberi sokongan kepada penggunaan,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan berkata, pilihan utamanya termasuk MR D.I.Y Group (M) Bhd kerana ia merupakan penerima manfaat utama kenaikan gaji penjawat awam.
Kumpulan itu juga menyatakan rancangan pengembangan cawangan kumpulan dan keterujaan terhadap usaha niaga runcit, KKV baharunya.
Dalam pada itu, RHB Investment berkata, pihaknya menantikan butiran lanjut mengenai pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol dan sama ada kerajaan merancang untuk memperkenalkan semula GST.
Katanya,kemungkinan kenaikan duti eksais untuk rokok dan minuman keras tidak boleh ditolak berikutan kenaikan terakhir berlaku pada 2014 dan 2016.
Dalam perkembangan lain, firma penyelidikan itu menyatakan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini mendedahkan lebih banyak rancangan untuk mengurangkan penggunaan gula di Malaysia.
“la boleh membawa maksud kenaikan kadar untuk produk sedia ada yang boleh dikenakan cukai gula dan meluaskan skop untuk meliputi lebih banyak produk,” katanya.
RHB Investment berkata, langkah itu boleh memberi impak kepada Power Root Bhd, Farm Fresh Bhd dan Nestle (M) Bhd.
Pilihan lain termasuk Guan Chong Bhd., disebabkan keuntungan yang kukuh dan pertumbuhan marginnya dan Focus Point Holdings Bhd. yang menunjukkan pertumbuhan yang konsisten dan penilaian yang menarik.
Firma penyelidikan itu berkata, pengukuhan ringgit memberi manfaat kepada sektor itu dengan meningkatkan sentimen pengguna dan mengurangkan kos input bagi pengeluar makanan.
Leong Hup International Bhd. Farm Fresh, MR D.I.Y Group dan Nestle berkemungkinan paling banyak mendapat manfaat berikutan kandungan importnya yang tinggi.-UTUSAN










