Sedia peruntukan bangunkan rantaian bateri EV tempatan

Sedia peruntukan bangunkan rantaian bateri EV tempatan

KERAJAAN juga boleh mempertimbangkan insentif untuk meningkatkan keupayaan pembaikan dan penyelenggaraan EV.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2025 perlu memperkenalkan inisiatif yang dapat membawa penggunaan kenderaan elektrik (EV) ke tahap lebih tinggi di Malaysia, kata Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia (MyEVOC).

Presidennya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, antaranya termasuklah menyediakan peruntukan untuk membangunkan rantaian bekalan bateri EV tempatan.

“Ia dapat mengurangkan kos untuk jualan bateri EV dan pengguna dapat membeli pada harga yang lebih murah jika ia dibangunkan dalam negara.

“Ini kerana kos pengangkutan sel bateri yang diimport lebih mahal dari barangan biasa kerana ia memerlukan langkah pencegahan kebakaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Tambah, kerajaan juga boleh mempertimbangkan insentif untuk meningkatkan keupayaan pembaikan dan penyelenggaraan EV. 

“Ini mungkin membantu meningkatkan persaingan dalam sektor ini dan diharapkan dapat mewujudkan pasaran EV terpakai yang lebih meriah di Malaysia,” jelasnya.

Dalam usaha untuk meningkatkan lagi infrastruktur stesen pengecas EV, Shahrol Azral berkata, MyEVOC juga mencadangkan kerajaan mewujudkan peruntukan untuk memasang lebih banyak pencawang elektrik berkuasa tinggi (substation).

“Ini terutamanya di lokasi-lokasi strategik, umpamanya di semua kawasan rehat dan rawat lebuh raya,” ujarnya.

Sehingga 25 Jun lalu, sebanyak 2,585 unit pengecas EV telah dipasang di seluruh negara, dengan taburan pengecas meliputi kesemua negeri kecuali Wilayah Persekutuan Labuan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini juga mengekalkan sasaran 10,000 titik pengecasan menjelang 2025 seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030.

Mengulas mengenai pengecualian duti import dan eksais sepenuhnya bagi unit siap dibina (CBU) EV yang bakal tamat menjelang hujung tahun depan, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk beberapa tahun lagi.

“Pengecualian cukai CBU dijadualkan tamat menjelang tahun depan, tetapi kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan memberikan pengecualian cukai separa untuk beberapa tahun lagi.

“Ini supaya momentum pengambilan dapat dipindahkan secara beransur-ansur ke EV pemasangan tempatan (CKD),” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN