PETALING JAYA: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), syarikat pelaburan hartanah di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera dan IJN Holdings Sdn. Bhd. (IJN) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mewujudkan kerjasama dalam perluasan kemudahan kesihatan IJN.
Menurut kenyataan bersama, kerjasama strategik itu menerokai model perniagaan berdasarkan komitmen hadapan dan pembiayaan hadapan, yang memanfaatkan keduanya dengan menyediakan rangka kerja untuk menyokong projek pembangunan kesihatan IJN.
“Di bawah model ini, PHB komited untuk membeli kemudahan kesihatan tersebut setelah ia siap dibina, memastikan sokongan kewangan kepada pemaju dan menjadikan projek ini lebih menarik kepada para pelabur dan rakan kongsi.
“Pendekatan ini membolehkan IJN menumpukan pada misi utamanya untuk menyediakan rawatan kardiovaskular bertaraf dunia sambil mengurangkan beban dan risiko dalam menguruskan pembangunan tanah dan hartanah,” katanya.
Jelasnya, penarafan kredit AAA PHB daripada RAM Ratings dan penarafan kelestarian Gold 3 memberikan sokongan kukuh kepada pemaju untuk mendapatkan terma pembiayaan yang lebih menguntungkan serta meningkatkan akses pinjaman.
“Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh daya maju projek kesihatan tetapi juga memastikan projek dapat disiapkan mengikut masa untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan perubatan,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, kerjasama itu menunjukkan komitmen mereka untuk mencipta nilai lestari melalui pelaburan strategik dalam sektor kesihatan.
“Model komitmen hadapan membolehkan kami memanfaatkan kekuatan kewangan kami untuk menyokong peluasan kemudahan kesihatan IJN, selain menyumbang kepada kecemerlangan kesihatan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md. Taib, berkata, JIN komited untuk berkembang ke luar Kuala Lumpur, mencapai kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan bagi memenuhi keperluan kesihatan yang lebih luas kepada masyarakat.
“Inisiatif ini akan membuka jalan untuk penubuhan kemudahan baharu, memastikan akses kepada rawatan kardiovaskular khusus bagi komuniti di seluruh Malaysia, tanpa mengira lokasi mereka.
“Adalah penting untuk ditegaskan bahawa ini lebih daripada sekadar kerjasama pembangunan infrastruktur dan ia mencerminkan komitmen kami terhadap masa depan penjagaan kesihatan di Malaysia,” katanya.-UTUSAN










