KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) komited untuk membantu Perodua mencapai sasaran menghasilkan kenderaan elektrik (EV) bernilai di bawah RM100,000 yang pertama di Malaysia menjelang akhir 2025.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata, kementerian akan memberikan sokongan melalui insentif dan pembangunan ekosistem bagi memastikan kemampuan dan pertumbuhan infrastruktur kenderaan elektrik di Malaysia.
“Matlamat utama bantuan itu adalah untuk menjadikan kereta EV lebih mampu milik.
“Perodua telah mengadakan perbincangan dengan MITI berhubung rancangan mereka, namun MITI tidak terlibat dalam operasi harian syarikat tetapi hanya akan memudahkan dan mencari cara untuk membantu mereka mencapai sasaran itu,” katanya semasa Majlis Pelancaran Rasmi Jenama JAC Motors, di sini semalam.
Menurut Tengku Zafrul, syarikat itu juga memerlukan sokongan kerajaan dalam mewujudkan ekosistem yang sesuai untuk mencapai matlamat ini, kerana ia akan menjadi kereta EV pertama di bawah RM100,000 yang dihasilkan di Malaysia.
“Pada masa ini, harga kereta EV melebihi RM100,000 dan tiada yang di bawah RM100,000 yang dihasilkan dalam negara.
“Oleh itu, MITI menggalakkan dua syarikat besar pilihan, Perodua dan Proton untuk menghasilkan kereta EV yang mampu milik di bawah harga RM100,000.
“Bagaimanapun, MITI optimis bahawa Produa mampu mencapai sasaran tersebut menjelang tahun hadapan,” katanya.
Menurut angka terkini, beliau berkata, setakat September 2024, sebanyak 15,780 kenderaan elektrik bateri (BEV) penumpang baharu telah didaftarkan di Malaysia, melebihi kira-kira 13,257 BEV yang didaftarkan sepanjang 2023.
“Momentum positif ini membawa kita lebih dekat kepada sasaran untuk mencapai 20 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) terdiri daripada EV menjelang 2030.
“Selain itu, infrastruktur pengecasan negara juga berkembang dengan pesat. Sehingga akhir September, Malaysia telah memasang 3,171 stesen pengecasan awam, di mana 26 peratus atau 813 daripadanya adalah pengecas pantas.
“Dalam tempoh hanya tiga bulan, sebanyak 565 pengecas baharu telah ditambah ke rangkaian tersebut.
“Menjelang akhir tahun 2025, kami menyasarkan untuk mempunyai 10,000 pengecas awam, mengurangkan nisbah pengecas kepada EV kepada satu nisbah sembilan,” katanya.
Tambahnya, beliau turut menekankan kepentingan sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E) dalam memperkukuh ekosistem EV, yang akan membolehkan Malaysia memenuhi permintaan EV pada masa hadapan.-UTUSAN










