KUALA LUMPUR: Pembinaan projek Rumah Mampu Milik (RMM) perlu memenuhi keperluan pembeli agar tidak menyumbang kepada masalah ‘overhang’ atau rumah siap tidak terjual sehingga menyebabkan kerugian kepada pemaju.
Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia dan iProperty, Kenneth Soh berkata, walaupun harga adalah faktor penting bagi pencari rumah, tetapi ia bukan satu-satunya faktor utama mempengaruhi keputusan pembeli.
“Jika pembangunan perumahan mampu milik dilakukan di kawasan yang jauh atau sukar diakses, walaupun harganya rendah, permintaan tidak akan tinggi, isu lebihan akan timbul.
“Dalam pembangunan rumah mampu milik ini, penting supaya pemaju memikirkan mengenai lokasi yang tepat, ketersediaan kemudahan di kawasan tersebut dan kelengkapan yang disediakan supaya ia berpadanan dengan permintaan pasaran.
“Selain itu, permohonan dan kelayakan untuk rumah mampu milik juga perlu dipermudahkan kerana mungkin terdapat sebahagian daripada golongan sasaran tidak memiliki kemahiran digital secukupnya untuk memohon,” katanya pada sesi bersama media yang diadakan di sini semalam.
Kenneth berkata, dalam Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2024 menonjolkan cabaran besar yang dihadapi pasaran hartanah Malaysia.
Sementara itu, Berdasarkan Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, rumah dalam julat harga mampu milik di bawah RM300,000 menyumbang 30.2 peratus (6,840 unit) daripada jumlah keseluruhan kediaman overhang negara yang kini sebanyak 22,642 unit.
Rumah pada julat harga antara RM500,001 dan RM1 juta menduduki tempat kedua, mencakupi 29.6 peratus (6,694 unit).
Dari segi pandangan keseluruhan, Kenneth melihat indikator separuh pertama tahun ini menunjukkan tanda positif dalam sektor pasaran hartanah.
“Kami melihat permintaan berkembang, bukan hanya di kawasan pusat bandar tetapi juga di kawasan pinggir bandar. Kadar faedah agak stabil dan pertumbuhan ekonomi Malaysia juga sihat.
“Semua ini menunjukkan sektor hartanah berada dalam keadaan baik,” katanya. – UTUSAN










