SEBUT nama CRF, peminat motosikal akan terbayang jentera motocross Honda CRF Rally dengan warna merah putih biru.
Di Malaysia, hanya model CRF 250 Rally yang dijual, tetapi di Indonesia Honda memperkenalkan satu pilihan yang lebih kecil dan mampu milik bagi pasaran itu – CRF 150L.
Dijual dengan harga lebih kurang RM11,000 di Indonesia, penulis terbang ke Sulawesi untuk melawat kawasan-kawasan bukit bukau di utara pulau ke-11 terbesar dunia itu menggunakan CRF 150L.
Dari segi saiz, ia sebenarnya memang hampir sama dengan model Kawasaki KLX 150 L yang terjual di Malaysia tetapi untuk peminat Honda, pastinya model CRF yang akan dicari.
CRF 150L ini menggunakan enjin empat lejang SOHC satu silinder sejukan udara dengan kapasiti 149cc dan sistem pancitan bahan api PGM-FI yang mampu menghasilkan 12.9 PS dan 12.4 Nm melalui kotak gear lima kelajuan.
Kerangka semi double-cradle aloi itu diberikan sistem gantungan motocross sejati – penyerap hentak Showa terbalik di hadapan bersaiz 37 milimeter (mm) dengan strok sejauh 225 mm, sementara di belakang pula monoshock dengan sistem Pro-Link dengan jarak strok 207 mm.
Honda memang tidak kedekut dengan kelengkapan yang diberikan. Malah, sistem brek hadapan ialah cakera wave 240 mm dengan angkup Nissin dua piston dan 220 mm dan di belakang cakera wave 220 mm dengan angkup satu silinder.
Kedua-dua rim ialah dari jenis aluminium tetuang dengan lidi, memuatkan tayar bertiub. Roda hadapan bersaiz 21 inci dan di belakang ialah 18 inci.
Tangki bahan api CRF ialah sebesar 7.2 liter dan berat keseluruhan motosikal ini dengan bahan api ialah 122 kilogram (kg).
Ketinggian pelana ialah 869 mm dari bumi, menjadikan ia sebuah motocross yang cukup serius bagi kategori enjin itu.
Paparan meter digital cukup kecil tetapi jelas dibaca walaupun dalam keadaan tunggangan yang sukar. Tidak ada meter revolusi per minit (RPM), cuma ada meter kelajuan, bahan api tangki dan jarak perjalanan – semuanya penting bila berkendara di kawasan pendalaman tanpa jalan berturap.
Tunggangan dari kota Makassar ke desa Lejja di Soppeng membuktikan pilihan nisbah gear yang membolehkan CRF cilik ini digunakan di dalam kawasan urban.
Nisbah pertama memang terlalu pendek, tetapi nisbah keempat dan kelima membenarkan penunggang bergerak pada kelajuan 100 km sejam dengan lancar. Di kawasan bandar, dua nisbah itu sudah lebih dari mencukupi sebenarnya.
Ketika mendaki laluan offroad tegar untuk ke kawasan pendalaman bagi melawat Titik Nol atau titik tengah Indonesia, di perkampungan bukit Umpungeng, CRF menunjukan kelasakannya.
Laluan yang hanya mampu memuatkan pejalan kaki dan motosikal sahaja itu cukup sukar.
Permukaan berbatu, berlumpur dan simen berlumut cukup membuatkan penulis berpeluh.
Ditambahkan lagi dengan gaung di sebelah laluan, penulis tahu pilihan yang ada ialah untuk tidak terjatuh kerana bantuan memang sukar dicari. Penduduk kampung itu membawa barang kelengkapan harian menggunakan motosikal dan barangan yang besar dipikul sejauh 13 km ke dalam.
Ternyata CRF 150L itu boleh diharap dan dipercayai. Bukit curam didaki menggunakan gear satu dan dua hinggakan enjin meraung, tetapi bila keadaan kembali normal, motosikal itu masih menghamburkan tenaga dengan lancar tanpa sebarang kepincangan.
Ada juga rakan-rakan yang terjatuh, tetapi kecederaan pada motosikal hanya melibatkan calar balar. Memang binaan CRF ini cukup kukuh dan direka untuk tugasan lasak di kawasan pendalaman.
Lima hari offroad bersama CRF 150L cukup untuk membuatkan penulis tunduk hormat dengan jentera ringkas dari Honda ini.
Di atas jalan berturap, ia tidak mempunyai masalah untuk melayan selekoh-selekoh, selagi tayar knobbies dari IRC itu memberikan cengkaman. Brek juga cukup baik dan membenarkan penunggang membaca prestasinya sebelum ia menggigit pada tahap maksimum.
Ini penting kerana CRF 150L tidak dilengkapkan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), depan atau belakang.
Tidak ada traction control atau permainan elektronik pun, khusus untuk memudahkan penjagaan dan penggunaan lasak. Ia juga boleh dihidupkan dengan kick starter sekiranya bateri sudah terlalu lemah.
Penggunaan bahan api tidak dapat dipastikan dengan tepat tetapi anggaran penulis, ia mampu mencecah 200 km dari satu tangki. Yang pasti, ia mempunyai jarak gerak yang lebih jauh dari Kawasaki KLX 150L kerana tangki bahan api yang hampir dua liter lebih besar.
Kekurangan utama CRF ini ialah kurangnya poin untuk mengikat beg atau barang.
Pelana motocross itu juga memang memeritkan punggung untuk perjalanan jauh dan kerana saiz yang munggil, membawa pembonceng ialah satu keajaiban bagi penulis yang setinggi enam kaki. Mungkin boleh untuk penunggang yang kurang inci.
Apapun, kekurangan paling ketara Honda CRF 150L ini ialah ia tidak dijual di Malaysia. Ini cukup merugikan kerana di Sulawesi, CRF ini menjadi motocross pilihan ramai kerana kelasakan dan tangki bahan api yang besar.
Dengan harga RM11,000, penulis cukup yakin ia akan popular kerana semakin ramai yang menyukai aktiviti lasak seperti menunggang offroad untuk berkhemah atau beriadah.
Boon Siew Honda, apa kata kita perkenalkan model ini?-UTUSAN










