Kos pengambilalihan 31 peratus saham Affin dianggar RM1.76 bilion - Utusan Malaysia

Kos pengambilalihan 31 peratus saham Affin dianggar RM1.76 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Securities menganggarkan bahawa kos keseluruhan pengambilalihan 31 peratus saham Affin Bank Bhd (Affin) oleh kerajaan Sarawak berjumlah RM1.76 bilion.

Penganalisisnya, Rachel Huang berkata, harga bagi tambahan pegangan 26 peratus saham adalah dianggarkan sekitar RM2.50 sesaham, yang menjadikan nilai transaksi terbaharu ini sebanyak RM1.54 bilion.

“Jika digabungkan dengan pembelian awal lima peratus kepentingan saham pada April 2023 yang berjumlah RM222 juta, kos purata bagi keseluruhan pegangan kerajaan Sarawak adalah sekitar RM2.42 sesaham.

“Walaupun tiada butiran lanjut mengenai urus niaga itu, pihaknya percaya kerajaan Sarawak berkemungkinan akan memperoleh tambahan 26 peratus kepentingan dalam Affin daripada kumpulan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam dua peringkat, berdasarkan laporan media sebelum ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Rachel berkata, pertama menerusi keseluruhan 20 peratus pegangan yang dimiliki oleh Boustead Holdings Bhd. (Boustead) dan enam peratus lagi pegangan LTAT.

“Pegangan efektif kumpulan LTAT (termasuk LTAT dan Boustead) akan dikurangkan kepada 23 peratus daripada 49 peratus.

“Oleh itu, kerajaan Sarawak akan menjadi pemegang saham terbesar Affin sebanyak 31 peratus,” katanya.

Affin mengumumkan kerajaan Sarawak, melalui anak syarikat milik penuhnya, SG AssetFin Holdings Sdn. Bhd. (SAH), telah memuktamadkan pembelian saham Affin daripada pemegang saham utamanya, LTAT dan Boustead.

Sebelum ini, kerajaan Sarawak, melalui entiti Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, memperoleh lima peratus pegangan dalam Affin pada April 2023.

Dengan pengambilalihan terbaharu, Affin mengumumkan pegangan Kerajaan Sarawak kini akan meningkat kepada kira-kira 31 peratus, meningkat daripada lima peratus.

Dalam pada itu, CIMB Securities turut menjangkakan peningkatan sumbangan Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) daripada kerajaan Sarawak, bermula tahun kewangan 2025.
Ia berkata, dengan peningkatan status sebagai pemegang saham terbesar, kerajaan Sarawak dijangka menyumbang sekurang-kurangnya RM4 bilion dalam CASA, yang seterusnya akan membolehkan pelepasan deposit tetap yang lebih mahal.

Selain itu, CIMB Securities juga menaikkan nilai saksama bagi saham Affin kepada RM4.30 daripada RM4, dengan saranan ‘beli’.

Unjuran itu disokong oleh peningkatan marjin faedah bersih sebanyak lima mata asas pada tahun kewangan 2025 dan sembilan mata asas pada 2026, serta peningkatan pulangan ekuiti kepada 7.8 peratus pada 2025 dan 8.8 peratus pada 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×