Kerangka Insentif Pelaburan Baharu diumum suku pertama 2025 

Kerangka Insentif Pelaburan Baharu diumum seawal suku pertama 2025 

TENGKU Zafrul Abdul Aziz (depan, tengah) bersama tetamu yang hadir pada sidang akhbar Pengumuman Kad Laporan MITI suku ketiga di Menara MITI, Kuala Lumpur, di sini, semalam. – utusan/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengumumkan perincian Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (KIPB) seawal suku pertama 2025. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerangka perincian sudah pun bermula dan akan dibentangkan dalam Majlis Pelaburan Negara pada Disember ini. 

“Ada beberapa sebab kami melihat pelaburan yang masuk ke negara kita mestilah pelaburan yang akan mendapat nilai tambah kepada sektor ekonomi negara iaitu memberi manfaat syarikat tempatan dan pekerja berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pengumuman Kad Laporan MITI pada suku ketiga di Menara MITI di sini, semalam. 

Tengku Zafrul berkata, keduanya dari segi kemampanan, ia mesti di dalam sektor yang tidak menghasilkan pelepasan karbon yang tinggi dan sebagainya. 

“Selain itu, kita juga perlu bersedia kerana Malaysia adalah satu daripada negara yang bersetuju melaksanakan cukai minimum global sebanyak 15 peratus pada tahun depan.

“Oleh itu, kita tidak lagi boleh menarik pelaburan dengan menawarkan pengecualian cukai sehingga sifar peratus dan kena ada insentif lain seperti fokus pada bakat, sektor hijau. 

“Jadi, secara dasarnya ia adalah cara baharu untuk melihat pada insentif. Insentif juga tidak lagi boleh diberi secara pukal, tetapi bersasar kepada industri yang betul-betul dapat membantu menambah nilai ekonomi negara,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan bersetuju memperkenalkan KIPB yang menumpukan aktiviti bernilai tinggi ketimbang insentif sedia ada yang berasaskan produk tertentu. 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerangka itu dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2025. 

Ia bagi meningkatkan tahap kerencaman sektor ekonomi elektrik dan elektronik (E&E) melalui aktiviti bernilai tambah tinggi seperti perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) dan bahan termaju, galakan cukai bagi peningkatan eksport diperluas kepada aktiviti reka bentuk IC bagi menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, turut terlibat adalah potongan cukai khas diberikan kepada institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang membangunkan kursus baharu seperti teknologi digital, AI, robotik, internet kebendaan (IoT), sains data, teknologi kewangan (fintech) dan teknologi mampan.

KIPB ini akan terus disokong melalui kemudahan pelaburan yang inklusif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang seimbang di seluruh negara. 

Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan setahun lalu kini berada di dalam landasan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Dari segi sasaran, kita menilai tiga sasaran utama iaitu dari segi jumlah pekerjaan yang dicipta, nilai tambah kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan gaji median.

“Setakat ini, kesemua ketiga petunjuk utama ini mencatat peningkatan dengan sasaran nilai tambah kepada KDNK meningkat 4.7 peratus atau sebanyak RM4.2 bilion, manakala peluang pekerjaan meningkat 0.9 peratus atau 20,000 masing-masing setakat suku kedua 2024 tahun ke tahun.

“Bagi gaji median juga meningkat sebanyak 8.2 peratus atau RM201 tahun ke tahun kepada RM2,645 setakat suku pertama 2024,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN