JAZRO peroleh RM1.2 juta pelaburan daripada Gobi Partners - Utusan Malaysia

JAZRO peroleh RM1.2 juta pelaburan daripada Gobi Partners

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: JAZRO Robotic Academy (JAZRO), syarikat permulaan pendidikan robotik yang diinkubasi oleh Petronas Innovation Garage (PING), menerima pelaburan sebanyak RM1.2 juta daripada Gobi Partners.

Dana itu diperoleh melalui dana Gobi Dana Impak Ventures (GDIV) yang disokong Khazanah Nasional Berhad dan membolehkan JAZRO mengembangkan tawaran pendidikannya serta menjangkau lebih ramai pelajar muda, memupuk generasi baharu inovator celik teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama JAZRO, Ir. Dzulfarqeish Zainuddin berkata, pencapaian itu adalah bukti kerja keras pasukan dan kepercayaan yang diberikan oleh pelabur.

“Kami juga komited untuk memacu inovasi dan mencipta nilai untuk komuniti yang menerima perkhidmatan kami.

“Kami percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk belajar, menemui, dan meneroka dunia robotik yang menarik,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PING, Zafirah Bahiyyah Zulkifli berkata, pencapaian JAZRO amat dibanggakan di bawah kepimpinan Dzulfarqeish dan impak positif mereka dalam pendidikan.

“Sebagai inkubator untuk usaha niaga yang dipacu pekerja, peranan kami adalah untuk menyokong pekerja inovatif seperti Dzulfarqeish dengan memberikannya sokongan yang dia perlukan untuk membina syarikat permulaan yang berkembang maju,” katanya.

JAZRO menyasarkan untuk melengkapkan generasi muda dengan kemahiran penting untuk berkembang maju dalam era digital dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Ini sejajar dengan dasar kerajaan Malaysia, Dasar Pendidikan Digital yang bertujuan untuk merapatkan jurang celik digital dalam kalangan pelajar dan pendidik

Dalam pada itu, Rakan Kongsi Pengurusan Gobi Partners (Malaysia), Jamaludin Bujang berkata, kolaborasi itu mencerminkan dedikasi Gobi Partners untuk memupuk syarikat pemula yang memacu impak sosial melalui teknologi.

“Kami yakin bahawa dengan sokongan kami, JAZRO akan terus meluaskan jangkauannya dan memberi inspirasi kepada generasi inovator akan datang di seluruh rantau ini,” katanya.

GDIV adalah sebahagian daripada Future Malaysia Programme (FMP) Khazanah, sebuah inisiatif di bawah mandat Dana Impak (Dana Impak) dana kekayaan kedaulatan itu, dengan tujuan untuk menyokong ekosistem startup Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN