IIB, KILSA buka peluang pasaran Asia Tenggara - Utusan Malaysia

IIB, KILSA buka peluang pasaran Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Iskandar Investment Berhad (IIB) mengumumkan perkongsian strategik dengan KILSA Global bagi mempercepatkan kemasukan syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Korea ke Asia Tenggara.

Kerjasama itu bukan sahaja bertujuan untuk meletakkan Medini dan Iskandar Puteri sebagai hab utama bagi inovator Korea tetapi juga untuk menarik bakat global, pelaburan dan inovasi ke Johor seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri Johor.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd. Hashim berkata, kerjasama IIB dengan KILSA Global membuka peluang baharu yang menarik untuk syarikat pemula dan PKS Korea dalam mengukuhkah kewujudannya di Asia Tenggara, sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi rantau ini.

“Di IIB, kami komited untuk memudahkan perniagaan Korea dengan menyediakan sokongan pelaburan yang komprehensif, menghubungkan mereka dengan agensi utama seperti Invest Johor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk proses persediaan yang lancar.

“Melalui perkongsian ini, kami berhasrat untuk memupuk ekosistem inovasi yang rancak yang mampu menggalakkan kerjasama antara perniagaan Korea, pemain industri tempatan dan institusi pendidikan.

“Ini akan membolehkan akses kepada bimbingan, rangkaian, dan peluang pembangunan bakat, memastikan inovator Korea mempunyai sumber, infrastruktur dan rangkaian untuk berkembang dan berjaya,” katanya.

Medini dan Iskandar Puteri menawarkan ekosistem kukuh yang menyokong industri canggih.

Terletak hanya 45 minit dari Singapura, ketersambungan Medini akan dipertingkatkan tidak lama lagi dengan projek infrastruktur utama seperti Sistem Transit Rapid (RTS), Transit Aliran Autonomi (ART), dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang berpotensi.

Projek-projek ini akan mengukuhkan hubungan Medini dengan Singapura serta pasaran ASEAN yang lain, memperkasakan peranannya sebagai pintu masuk utama bagi pelabur global dan sebagai landasan pelancaran ideal untuk perniagaan Korea di pasaran Asia Tenggara dengan lebih 660 juta orang dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejumlah AS$3 trilion.

Sementara itu, Pengarah Urusan KILSA Global, Philip Jongseok Park berkata, kerjasama ini menyediakan perniagaan Korea gerbang ke salah satu wilayah yang paling pesat
berkembang di dunia.

“Dengan lebih 30,000 PKS Korea sedang aktif mencari pengembangan luar negara dan menyumbang kepada lebih daripada 99 peratus landskap perniagaan Korea, Asia Tenggara menyediakan peluang yang begitu besar.

“Ekonomi digital rantau ini dijangka akan mencapai AS$300 bilion menjelang 2025 dan kami teruja untuk menghubungkan syarikat pemula dan PKS Korea dengan potensi besar yang ditawarkan Medini dan Iskandar Puteri, terutamanya dalam ruang teknologi dan inovasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×