BARU-baru ini, satu pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diarahkan menyediakan blok perumahan Madani untuk setiap projek baharu, bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki rumah.
Itu merupakan syarat penting yang ditetapkan bagi memastikan projek perumahan baharu dapat diluluskan, sekali gus memanfaatkan rakyat.
Syarat tersebut merupakan satu ketegasan kerajaan hari ini, kerana mengambil kira projek perumahan terdahulu yang tidak menekankan kepentingan rumah mampu milik untuk rakyat.
Justeru, beliau mengingatkan supaya semua pihak tidak memandang ringan soal tata kelola, rasuah dan ketirisan kerana perkara itu mempunyai kesan kepada nasib rakyat.
Namun, sejauh manakah Blok Madani dapat direalisasikan mengikut standard yang betul?
Secara realitinya, Blok Madani bukanlah suatu inisiatif atau idea yang baharu kerana sebelum ini kerajaan telah memperkenalkan program atau projek pembangunan perumahan kos rendah yang perlu diwujudkan apabila sesuatu projek perumahan ingin dilaksanakan oleh pihak pemaju.
Menerusi inisiatif ini, beberapa negeri yang telah mengalami kerancakan pembangunan perumahan sekitar tahun 90-an seperti Johor, Selangor dan Pulau Pinang telah berjaya memanfaatkan inisiatif ini bagi menyediakan unit-unit perumahan kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Pengarah Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Sr. Dr. Shardy Abdullah berkata, kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mewujudkan dana atau geran khas yang mampu dimanfaatkan oleh pemaju untuk membina unit-unit perumahan bagi golongan B40 dan M40.
Katanya, pihak berwajib juga perlu mengurangkan atau menghapuskan caj pembangunan yang dikenakan kepada pemaju apabila mereka terlibat dalam membangunkan projek perumahan kepada golongan M40 dan B40 ini.
‘Pengurangan atau penghapusan caj-caj pembangunan ini perlu bagi memastikan pihak pemaju tidak memasukkan caj-caj tersebut sebagai sebahagian daripada kos pembangunan yang akhirnya akan dihitung sebagai harga pembelian oleh golongan M40 dan B40.
“Di samping itu, kerajaan perlu menjadikan inisiatif ini sebagai suatu ketetapan wajib dan bukannya sebagai suatu pilihan yang memiliki alternatif lain sebagai penyelesaian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas beliau, bagi meringankan beban pemaju, kerajaan juga perlu mengkaji semula dan seterusnya mengubah prosedur atau tatacara permohonan kelulusan pembangunan perumahan kepada golongan M40 dan B40.
“Jangka masa permohonan kelulusan yang lama ada kalanya mampu memberi tekanan kewangan yang lebih besar kepada pihak pemaju.
“Insentif pengecualian dan pendiskaunan cukai juga wajar diperkenalkan kepada para pemaju yang telah terlibat dengan inisiatif pembangunan projek perumahan bagi golongan M40 dan B40.
“Selain itu, sekiranya ia melibatkan kerajaan negeri, maka pemberian percuma atau penjualan tanah milik kerajaan negeri dengan harga yang lebih murah secara relatifnya kepada pemaju untuk tujuan pembangunan perumahan bagi golongan M40 dan B40 mungkin perlu dilaksanakan,” katanya.
Lebih jelas, Shardy berkata, memandangkan kawasan pusat bandar sudah mengalami ketepuan pembangunan, maka dalam situasi tersebut, projek pembangunan perumahan M40 dan B40 lebih relevan untuk dilaksanakan di kawasan pinggir bandar.
“Dalam situasi tersebut, pihak kerajaan perlu menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih praktikal, sebagai contoh jalan awam bukannya lebuh raya bertol,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perundingan Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Sr. Idzwan Izuddin Shah Ishak berkata, setiap pembangunan perumahan baharu perlu disediakan pembangunan Blok Madani dan nisbah unitnya perlu berkadar langsung dengan jumlah keseluruhan unit dalam pembangunan tersebut.
“Harga cadangan sama seperti Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di mana ia khusus untuk penjawat awam. Julat harga di antara RM200,000 hingga RM300,000 serta contoh unit keluasan 800 kaki persegi RM200,000 unit 900kp 250,000 dan unit 1,000kp RM300,000,” katanya.-UTUSAN










