Blok Madani perlu ikut kesesuaian pemaju, saiz unit

Blok Madani perlu ikut kesesuaian pemaju, saiz unit

MALAYSIA merupakan antara destinasi pilihan orang kaya dari China untuk membeli rumah berharga lebih AS$5 juta. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLISI Blok Madani mampu menyelesaikan masalah perumahan untuk golongan berkemampuan terhad untuk memiliki rumah, namun ia perlu diperincikan oleh pihak pemaju dan pemegang taruh dalam industri dari segi model pelaksanaan, pembiayaan, reka bentuk, pengurusan serta penyelenggaraan. 

Satu titik pertemuan yang seimbang dan menang-menang perlu diteroka supaya hasrat untuk menyediakan perumahan untuk setiap rakyat dapat dicapai.

Pengarah VERITAS Design Group, Ar Azril Amir Jaafar berpendapat, inisiatif ini perlu diteruskan namun pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan kemampuan pemaju, saiz pembangunan dan keluasan tapak pembangunan. 

“Sebagai contoh, sekiranya untuk tapak pembangunan yang luas mungkin disediakan blok khusus untuk perumahan Blok Madani. 

“Bagaimanapun, untuk keluasan tapak yang terhad dan harga tanah yang tinggi, mungkin mekanisme di mana pihak pemaju menyumbangkan kepada satu tabung perumahan Madani untuk dimajukan oleh pihak kerajaan perlu difikirkan. 

“Saiz unit juga perlu pelbagai supaya ia dapat disesuaikan untuk pelbagai lapisan, demografi dan keperluan penghuni,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Azril yang juga arkitek bertauliah melihat dasar ini merupakan satu dasar jangka panjang yang holistik. 

“Ia memerlukan satu pendekatan cara berfikir luar kotak yang berbeza namun ia perlu dilaksanakan secara konsisten, disiplin, telus dan tegas untuk memastikan objektif dicapai,” katanya. 

Bagi harga pula, Azril berpendapat, pemaju boleh menggunakan satu model ‘sewa sumbangan’ di mana pihak penghuni hanya menyewa saiz unit itu mengikut keperluan dan kemampuan penghuni pada masa itu. 

“Sekiranya keperluan berubah, penghuni boleh memohon untuk saiz unit yang lain dengan kadar sewa yang berbeza dan sekiranya penghuni berhasrat untuk tidak lagi menghuni perumahan Madani ini pada masa depan.

“Mereka (penghuni) boleh mengeluarkan sebahagian daripada jumlah ‘sewa sumbangan’ yang telah dibayar. 

“Secara ringkas perumahan madani ini tidak dimiliki oleh penghuni, namun kekal milik badan pemaju perumahan madani (atau kerajaan sebagai pemilik tanah). Saya percaya model ini lebih memberi kemampuan kepada sebahagian besar golongan B40 dan M40 untuk mendiami kediaman yang selesa,” katanya.

Sementara itu, pekerja swata, Fatimah Hanum Samsuri, 43, berkata, Blok Madani perlu dipercepat bagi membantu golongan M40 dan B40 membeli rumah yang selesa dengan harga mampu milik contohnya bermula RM250,000.

“Bagaimanapun, kerajaan atau pemaju perlu juga mengambil kira keluasan yang cukup selesa untuk sebuah keluarga. 

“Pelaksanaan Blok Madani dibuat untuk mengambil kira tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang semestinya terdapat banyak perubahan dari sudut infrastruktur dan gaya hidup.

“Semoga langkah kerajaan dengan mewujudkan Blok Madani ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah yang sedang bergelut dengan kenaikan harga rumah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN