SUV atau MPV: Yang mana lebih sesuai?

SUV atau MPV: Yang mana lebih sesuai?

TEMPAT duduk dan ruang kabin yang selesa.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia konsumer di mana gaya hidup lebih memainkan peranan dalam menentukan pemilihan sesuatu produk, pembelian kenderaan bagaimanapun perlu diberi sedikit perincian kerana ia melibatkan nilai yang besar.

Bagi sebuah keluarga, ken­deraan yang cukup besar untuk memuatkan semua menjadi pilihan utama tetapi syarikat kenderaan mengusutkan keadaan dengan mewujudkan satu genre baharu –  kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan tujuh tempat duduk.

Bagi mereka yang tidak mahu membawa sebuah kotak kasut beroda, SUV sebegitu menjadi pilihan tetapi ada juga yang hanya mempunyai seorang anak, tetapi tetap memilih kenderaan pelbagai guna (MPV) kerana gemarkan bentuknya.

Kali ini, kita kaji kedua-dua genre dengan harapan ia akan membantu anda untuk membuat keputusan yang bernas.

MPV

Multi Purpose Vehicle atau MPV sebenarnya wujud dari sebuah van komersil yang kemudian diletakkan barisan kerusi, pendingin hawa dan aksesori.

Pada pertengahan tahun 80-an, antara MPV popular di Malaysia ialah Nissan Vannete C20 atau C22, Toyota Liteace, Mitsubishi Delica, Ford Econovan dan Mazda Bongo.

Kemudian, hadir varian premium seperti Ford Spectron dan yang dibawa masuk dari Jepun, Toyota Grandace.

MPV marhaen diperkenalkan di Malaysia bila UMW Toyota memperkenalkan Avanza dalam tahun 2003 pada harga RM56,000 dan dipasang di kilang Perodua di Rawang.

Sekarang, MPV paling mampu milik dihasilkan oleh Perodua dengan Alza generasi kedua pada harga RM62,500 dan sepupunya, Toyota Veloz.

Kita juga mempunyai MPV bersaiz sederhana seperti Nissan Serena pada harga RM150,000 dan versi besar dan mewah seperti Toyota Alphard yang mencecah harga setengah juta ringgit.

Fungsi utama MPV ialah untuk membawa penumpang dan kerana itu ia akan memaksimakan ruang kabin agar ia menjadi lebih selesa.

Semakin besar MPV itu, semakin mewah dan semakin tinggi harganya kerana seperti kediaman, ruang itu ialah sesuatu yang berharga.

Nissan Serena, Toyota Voxy dan Honda Stepwgn contohnya ialah MPV Jepun yang mempunyai bentuk kotak bersegi kerana undang-undang di Jepun yang mempunyai cukai berdasarkan saiz kenderaan.

Bentuk berkotak itu sebenarnya yang paling memaksimakan ruang, seperti apa yang dapat dirasai di dalam Serena, Voxy atau Stepwgn.

Pintu sisi gelungsur pula memudahkan penumpang di ruang belakang keluar dan masuk, menambahkan praktikaliti sebuah MPV itu.

Itu yang lebih sukakan sebuah MPV dengan bentuk yang lebih seperti sebuah wagon, kita dahulu mempunyai Honda Stream dan Toyota Wish, tetapi sayangnya telah “dibunuh” kerana jualan yang semakin berkurangan.

Innova bagaimanapun muncul sebagai pemenang kerana masih mampu bertahan. Generasi terkini Innova (Zenix) kini lebih modern dan sudah mula menggunakan kerangka “unibody” yang jauh lebih selesa dan sedap dipandu.

Bagi yang sering membawa penumpang dan beban serta sering mendaki bukit, enjin diesel adalah pilihan utama, seperti yang digunakan oleh Kia Carnival dan Hyundai Staria.

Daya kilas yang dihasilkan oleh enjin diesel membantu dalam situasi mendaki atau membawa beban. Diesel juga memberikan jarak perjalanan yang lebih jauh dari seliter bahan api berbanding dengan petrol.

Namun begitu, tidak ada sesiapa yang mampu menandingi kemewahan yang diberikan oleh Toyota Alphard/Vellfire, di mana syarikat itu meletakan limosin Jerman sebagai penanda aras produk MPV mewah mereka.

Permainan ruang yang bijak juga kelas kelihatan di dalam MPV, di mana setiap ruang kosong yang wujud dijadikan tempat untuk mengisi barangan penumpang.

Kebolehan untuk mengubah kedudukan barisan-barisan tempat duduk juga membolehkan pemilik menyusun penumpang dan barang-barang.

Dari segi pengendalian, kebanyakannya memberi tumpuan kepada keselesaan untuk penumpang di semua barisan tempat duduk. Ia mungkin beroleng sedikit ketika mengambil selekoh tetapi tidak begitu teruk.

Ia umpama sebuah kereta sedan dengan sistem gantungan yang lembut. 

Namun, ada MPV yang memberi sedikit penekanan dalam pengendalian, seperti Kia Carnival yang masih mampu meratah selekoh besar dengan rasa tegap seperti sebuah jentera Eropah.

Penggunaan bahan api pula memang lebih sedikit dari kereta sedan kerana saiz dan juga bentuknya yang kurang aerodinamik. 

Siling yang lebih tinggi di dalam MPV pula membolehkan corong pendingin hawa dan skrin LCD ditempatkan di atas untuk menambah kemewahan penumpang.

Paling penting, MPV memang memberi penekanan terhadap keselesaan dan praktikaliti penumpang kerana itulah fungsi utamanya.

SUV

Kehadiran SUV dengan tujuh tempat duduk di Malaysia boleh dikatakan bermula dengan kehadiran Mitsubishi Pajero dan Toyota Land Cruiser Prado dengan tempat duduk barisan ketiga yang boleh dilipat ke tepi.

Untuk jenama premium, Volvo XC90 memulakan permainan ini dengan tiga barisan tempat duduk serba mewah yang cukup untuk memuatkan enam dewasa dengan mudah.

Sekarang, Perodua sendiri mempunyai Aruz, sebuah SUV dengan tujuh tempat duduk dan sepupunya, Toyota Rush.

Untuk peringkat pertengahan, Mazda menawarkan CX-8 sementara Nissan masih mengekalkan X-Trail generasi ketiga yang sebenarnya menempatkan tempat duduk barisan ketiga yang kecil.

Bagi yang perlukan sebuah SUV lasak dengan sistem pacuan empat roda sejati, Toyota Fortuner menjadi pilihan.

Pilihan semakin banyak bila harga melangkaui paras RM200,000 dengan jenama-jenama dari Korea seperti Kia Sorento dan Hyundai Palisade.

Secara dasarnya, SUV tujuh tempat duduk memang mampu memuatkan tujuh orang penumpang tetapi harga “ruang” menjadi semakin premium kerana bentuk SUV yang tinggi itu sebenarnya menyempitkan bahagian kabin.

Siling yang tinggi memang tidak mampu dilakukan, sementara jarak antara roda (wheelbase) tidak boleh terlalu panjang kerana ia akan meningkatkan saiz luaran SUV itu sendiri.

Penggunaan kombinasi roda dan tayar yang lebih besar juga memakan ruang kabin dan ini cukup dirasai oleh tempat duduk barisan ketiga.

Mazda CX-8 bagaimanapun masih mampu memberikan tempat duduk barisan ketiga yang cukup selesa untuk penumpang dewasa. 

Ruang tempat letak barang bergantung kepada panjang SUV itu sendiri, kerana semakin panjang saiz badannya, semakin besar ruangan kargo tetapi kebanyakan SUV tujuh tempat duduk memang mempunyai ruang yang lebih kecil dari MPV.

Sistem gantungan juga memberikan cabaran kepada pengeluar kerana imbangan antara keselesaan dan pengendalian yang mantap sukar dilakukan.

Komponen sistem gantungan di dalam SUV ternyata lebih panjang demi “meninggikan” badan kenderaan itu dan jika ia ditala terlalu keras, penumpang akan terasa kurang selesa.

Jika ia terlalu lembut, SUV itu akan beroleng seperti sebuah tongkang yang dilanda ribut monsun Pantai Timur, menyebabkan penumpang jadi mabuk.

Kedudukan SUV yang tinggi serta badan yang lebih lebar kerana keperluan untuk nampak ganas juga memberikan masalah kepada penggunaan bahan api kerana berbanding dengan MPV yang lebih rendah atau kereta sedan, SUV akan memberikan bil petrol atau diesel yang lebih tinggi.

Namun begitu, jika anda memang perlukan ruang lega bumi yang tinggi bagi meredah kawasan-kawasan sukar atau anda memerlukan sistem 4X4 tulen dan anda masih perlu membawa tujuh atau enam orang penumpang, SUV terpaksa menjadi pilihan anda kerana tidak ada genre lain yang mampu membawa tujuh atau enam orang penumpang meredah kawasan-kawasan mencabar itu.

Keputusannya?

Jika saiz keluarga anda tidak terlalu besar, dari segi jumlah bilangan atau saiz fizikal, SUV dengan tujuh tempat duduk sebenarnya masih boleh dipertimbangkan.

Ya, SUV pastinya nampak lebih “macho” dan lebih sesuai untuk dipandu setiap hari berbanding dengan “peti ais” beroda.

MPV memang jawapan terbaik untuk keselesaan penumpang, baik dari segi pemanduan dan ruang. Sayangnya, bukan semua mampu menerima imej MPV dan ada yang tidak mahu kelihatan sedang memandu sebuah MPV.

Cara terbaik sebenarnya ialah membawa kesemua ahli keluarga ke dewan pameran dan bawa sekali beg-beg yang akan dibawa pulang ke kampung dan kita cuba lihat kenderaan mana yang mampu memuatkan kesemua item-item itu dan kesemua ahli keluarga dengan selesa dan selamat.

Untuk yang menggunakan tempat duduk bayi, pastikan tempat duduk mana yang dilengkapi dengan tuil Isofix.

Jika si isteri juga akan memandunya, pastikan cik puan kita selesa dengan saiz dan ketinggian kenderaan tersebut.

Bagi yang membawa orang tua, lebih sukar untuk masuk ke dalam sebuah SUV kerana ia lebih tinggi dan ruang kabin yang lebih kecil.

Perumpamaan tepuk dada tanya selera sebenarnya tidak boleh digunapakai di dalam situasi ini kerana bila kita sudah menjadi ketua keluarga, kepentingan semua jauh mengatasi kerisauan imej peribadi kita.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN