PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.0 peratus dalam mesyuarat kelima Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) minggu ini.
Keputusan itu mencerminkan strategi berhati-hati BNM dalam memastikan kestabilan ekonomi negara dalam menghadapi ketidakpastian global dan domestik.
Profesor Kewangan Dan Keusahawanan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, antara mendorong OPR terus kekal adalah inflasi negara yang masih terkawal, meskipun terdapat tekanan harga dari segi makanan dan bahan bakar.
“Dengan mengekalkan OPR pada 3.0 peratus, BNM bertujuan untuk mengimbangi antara pertumbuhan ekonomi dan kawalan inflasi.
“Selain itu, pemulihan ekonomi Malaysia sedang dalam proses pemulihan selepas pandemik Covid-19. BNM melihat kadar 3.0 peratus adalah wajar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan tanpa menyebabkan risiko ketidakseimbangan kewangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas beliau, kadar faedah yang stabil membantu mengekalkan kestabilan ringgit, terutama dalam menghadapi perubahan dasar monetari di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS).
“Bagaimanapun, walaupun kadar OPR pada 3.0 peratus bertujuan untuk menyokong pertumbuhan, ada risiko bahawa langkah ini mungkin tidak mencukupi jika ekonomi global mengalami kelembapan yang lebih ketara.
“BNM mungkin perlu mempertimbangkan penurunan kadar sekiranya pertumbuhan ekonomi Malaysia terancam,” katanya.
Turut berpendapat yang sama, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, jangkaan OPR kekal dan tidak berubah kerana OPR perlu untuk menstabilkan pasaran kewangan.
“Kekal 3.0 peratus sehingga akhir tahun kerana perlu memacu ekonomi domestik yang mempunyai momentum positif sekarang, sebarang kenaikan akan mengurangkan momentum pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Selain itu, inflasi juga dalam keadaan terkawal iaitu 2.0 peratus, masih dalam unjuran BNM untuk 2024 iaitu antara 2.0 hingga 3.5 peratus,” katanya.
Sementara itu, Standard Chartered Global Research turut menjangkakan bank pusat akan mengekalkan OPR pada 3.0 peratus.
Firma penyelidikan Standard Chartered itu berkata, BNM juga mungkin akan mengekalkan pandangannya bahawa pergerakan mata wang negara didorong oleh faktor luaran.
“Kebimbangan mengenai ringgit telah mereda dalam beberapa mesyuarat lalu berikutan prestasi ringgit yang baik sejak akhir Februari.
“Penilaian BNM terhadap ringgit berubah daripada ‘terkurang nilai’ pada bulan Mac kepada ‘tidak mencerminkan asas-asas’ pada bulan Mei, seterusnya menyatakan bahawa ia didorong oleh faktor luaran pada Julai,” katanya. – UTUSAN










