PETALING JAYA: Solarvest Holdings Berhad mahu insentif tenaga bersih diberi penekanan dalam Belanjawan 2025 bagi mempertingkatkan infrastruktur tenaga solar, menguatkan insentif cukai bagi pelaburan teknologi hijau dan mempercepatkan penggunaan amalan tenaga bersih di Malaysia.
Menurut kenyataannya, antara cadangan utama adalah pengembangan program Permeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Penggunaan Sendiri bagi Pemasangan PV Solar (SELCO).
“Solarvest mencadangkan penghapusan had kapasiti bagi program NEM Rakyat, NEM Gomen, dan NEM NOVA serta membenarkan interkoneksi penghantaran untuk projek SELCO.
“Penciptaan pekerjaan hijau juga menjadi keutamaan dengan penekanan pada pemasangan PV solar yang boleh membantu syarikat mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Kami turut mencadangkan insentif membangunkan rantaian bekalan solar fotovoltaik (PV) serta pengecualian dan pengurangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan pengurangan duti import untuk modul solar PV, inverter dan sistem simpanan tenaga bateri (BESS) sehingga 2029,” katanya.
Selain itu, Solarvest mencadangkan pemulihan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) untuk menyokong projek tenaga solar.
“Dalam usaha meningkatkan penggunaan solar PV di kediaman, Solarvest mencadangkan pelepasan cukai sehingga RM50,000 untuk pemasangan solar PV dengan pelepasan tahunan sehingga RM10,000 selama lima tahun.
“Pinjaman tanpa faedah untuk golongan B40 serta pinjaman bersubsidi untuk golongan M40 di bawah Program NEM Rakyat. Tambahan pula, kami mengesyorkan insentif cukai kepada pemaju hartanah yang menggabungkan penyelesaian tenaga solar dalam projek mereka.
“Bagi kemajuan penjanaan teragih dan peningkatan grid pula, penggunaan teknologi grid pintar dengan memohon dana RM50 juta untuk pengurusan permintaan tenaga dan perdagangan tenaga antara pengguna boleh dipertimbangkan.
“Kami mencadangkan peruntukan sebanyak RM30 bilion bagi meningkatkan infrastruktur grid, rangkaian pengecas kenderaan elektrik (EV) serta sokongan BESS. Cadangan ini, termasuk lanjutan insentif cukai untuk EV dan pengendali titik pengecasan EV,” katanya.
Solarvest juga menyarankan sokongan untuk kemandirian tenaga lestari dengan memohon RM50 juta untuk latihan industri solar dan penyelidikan, termasuk kajian kestabilan grid.
Mereka turut mencadangkan program Agrivoltaic dan Aquavoltaic untuk mengoptimumkan penggunaan tanah bagi tujuan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui dan pertanian dan projek solar PV juga disarankan untuk melibatkan syarikat tempatan dengan majoriti ekuiti Malaysia.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Solarvest serta Presiden Persatuan Industri Fotovoltaik Malaysia (MPIA), Davis Chong Chun Shiong menyatakan keyakinannya terhadap potensi Malaysia untuk menjadi peneraju global dalam tenaga boleh diperbaharui.
“Saya berharap Belanjawan 2025 akan memberikan sokongan berterusan kepada pelaburan teknologi hijau serta memperkenalkan lebih banyak insentif cukai bagi mempercepatkan penggunaan tenaga solar di seluruh negara.
“Solarvest kekal komited untuk memacu inovasi dalam tenaga bersih dan percaya bahawa pelaburan serta insentif strategik dalam Belanjawan 2025 akan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan peralihan tenaga Malaysia ke arah masa depan rendah karbon,” katanya.-UTUSAN










