Rundingan antara Sarawak, Petros dan Petronas masih berjalan

Rundingan antara Sarawak, Petros dan Petronas masih berjalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menegaskan pihaknya masih dalam proses rundingan dengan kerajaan persekutuan dan Sarawak serta Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) ke arah mencapai resolusi bersama berhubung pengagihan gas asli.

Petronas berkata, perkongsian menang-menang perlu diwujudkan berdasarkan pemahaman kekuatan dan kekangan masing-masing bagi mencapai resolusi yang holistik.

“Pendirian kami ialah sebarang resolusi yang dibangunkan oleh semua pihak mesti mempunyai kepentingan terbaik negara dan tidak boleh menjejaskan kestabilan ekonomi negara.

“Setakat ini, kami kekal komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memelihara iklim pelaburan yang kondusif serta berkembang baik di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan Petronas adalah susulan laporan CN Asia pada 7 September lalu bahawa syarikat minyak dan gas negara itu sedang mempertimbangkan untuk memfailkan injunksi mahkamah terhadap kerajaan negeri Sarawak berhubung hak pengagihan gas asli di Sarawak.

Pada sidang akhbar pengumuman keputusan separuh pertama 2024 Petronas minggu lalu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Petronas mahu meneruskan kerjasama dengan Petros.

Katanya, pihaknya mahu mewujudkan kerjasama strategik yang ‘menang-menang’ antara kedua-dua pihak dan membantu pertumbuhan kedua-dua syarikat berdasarkan persefahaman dalam kekuatan masing-masing.

Terdahulu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, Petros akan mengambil alih peranan Petronas dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak bermula 1 Julai 2024 hingga 1 Januari 2025.

Beliau berkata Petros dan Petronas juga bersetuju untuk menandatangani perjanjian definitif (Definitive Agreement), dengan Petronas mengambil maklum peranan Petros sebagai Pengagregat Gas Tunggal di bawah Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan), 2023.

Bagaimanapun, perbincangan antara kedua-dua pihak mengenai kawal selia minyak dan gas di Sarawak sedang berlangsung dan perlu diselesaikan sebelum 1 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN