PETALING JAYA: Kenderaan elektrik nasional pertama, kereta Proton e.MAS 7 kini dalam fasa ujian intensif dengan enam unit Proton e.MAS 7 dipandu oleh jurutera pakar Proton merentasi setiap pelusuk di Semenanjung Malaysia.
Fasa terperinci ini penting dalam memastikan kenderaan memenuhi keperluan persekitaran yang khusus di Malaysia dan mengesahkan ketahanan, keboleh suaian serta kesesuaiannya dengan permintaan pasaran tempatan.
Ujian lasak ini merangkumi Ujian Ketahanan Adaptif (DAT), Ujian Jalanan Elektrikal (ERT), Ujian Sistem Bantuan Pemandu (ADAS) dan Ujian Kebolehpercayaan Kualiti (QRT), serta penambahbaikan yang berterusan pada sistem navigasi, Digital Head Unit (DHU) dan Penyedia Sistem Telematik (TSP).
Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, ini menandakan langkah besar ke arah penghasilan kenderaan yang bukan sahaja mewakili kemajuan teknologi, tetapi juga menunjukkan komitmen dalam memenuhi keperluan khusus pasaran di Malaysia.
“Pasukan kami berdedikasi dalam memastikan Proton e.MAS 7 memenuhi piawaian tertinggi dalam kualiti dan kebolehpercayaan, seterusnya membuka jalan untuk pelancarannya yang gemilang,” katanya dalam kenyataan.
SUV segmen-C ini dilengkapi dengan platform Global Modular Architecture (GMA), sistem pendorong elektrik pintar 12-dalam-1 yang terkini, seni bina bateri Cell-To-Body dan Sistem penghubung Flyme Auto yang inovatif telah menunjukkan hasil yang sangat memberangsangkan dalam fasa ujian tempatan kali ini.
Setakat ini, jurutera Proton telah menjalankan simulasi DAT yang dapat membaca faktor persekitaran dan corak lalu lintas unik di Malaysia.
Jelas Pro-net, sistem navigasi dalam kereta telah diperinci dengan teliti untuk menggambarkan peta jalan raya Malaysia dengan tepat dan mengoptimumkan penangkapan frekuensi radio untuk stesen tempatan, memfokuskan laluan luar bandar, kawasan pergunungan serta stesen kereta api untuk menguji sambungan rangkaian internet.
“Sistem elektrik ini disasarkan untuk melengkapkan ujian jalan sejauh 10,000 kilometer (km) semasa Ujian ERT dijalankan untuk memastikan integrasi ke semua fungsi elektronik berjalan dengan lebih lancar manakala sistem ADAS telah diuji dengan teliti dalam pelbagai situasi seperti tempat letak kereta di pusat membeli-belah, di simpang jalan dan di jalan bertingkat,” katanya.
Selain itu, menurut Pro-net, jurutera Proton juga telah menyesuaikan komponen perisian utama, memastikan sistem DHU dapat menterjemah bahasa asal pasaran China ke dalam Bahasa Inggeris Malaysia dengan tepat dan disesuaikan dengan tetapan tempatan, bukan hanya sekadar bergantung pada terjemahan umum.
“Usaha kolaborasi antara Proton dan Geely ini membuktikan bahawa Proton e.MAS 7 bukan sekadar kenderaan yang ditukar jenama, tetapi merupakan kenderaan yang benar-benar berjiwa Malaysia.
“Ujian ketahanan kenderaan termasuk penyelesaian masalah dan pemeriksaan sistem yang ketat, PRO-NET akan memastikan daya ketahanan kenderaan mengikuti spesifikasi tempatan.
“Jurutera kami telah melaksanakan 49 proses tambahan ciri unik daripada Geely untuk memastikan Proton e.MAS 7 memenuhi piawaian tertinggi di peringkat tempatan dan global,” ujarnya. – UTUSAN










