Program i-SEE bantu PMKS komersialkan kaki prostetik ke Indonesia - Utusan Malaysia

Program i-SEE bantu PMKS komersialkan kaki prostetik ke Indonesia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan MyB Prosthetic Limb kepada penerima manfaat, Ahmad Fadhil Rushdan Abdul Rahim yang merupakan seorang orang kurang upaya (OKU).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Ekosistem Inklusif PMKS (i-SEE) oleh SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah mendorong MyB Innovation Sdn. Bhd. menghasilkan kaki prostetik berinovasi tinggi, MyB Prosthetic Limb.

Satu pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyB Innovation bersama syarikat dari Indonesia, PT Yusuf Ortonesia Medika bagi mengkomersialkan produk itu ke pasaran Indonesia dengan unjuran jualan sebanyak RM1 juta pada tahun pertama.

Menurut kenyataan, kaki prostetik MyB Prosthetic Limb mempunyai ciri-ciri inovatif seperti boleh dibengkokkan sehingga 180 darjah, menawarkan keselesaan maksimum, serta fleksibiliti untuk mereka yang mengalami amputasi anggota di bawah lutut.

“Berbeza daripada kaki palsu konvensional yang terhad kepada berdiri dan berjalan, kaki prostetik baharu ini membolehkan pergerakan buku lali, lantas menjadikannya ideal untuk aktiviti seperti sujud dan yoga.

“Geran bernilai RM191,859 telah diluluskan di bawah Program i-SEE oleh SME Corp. Malaysia melalui YIM kepada syarikat,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy berkata, program itu menawarkan bantuan geran maksimum sehingga RM200,000 untuk setiap inovator atau usahawan.

“Melalui program ini, inovator atau syarikat bukan sahaja dapat membuka peluang perniagaan ke peringkat serantau, tetapi juga membawa manfaat besar kepada komuniti inklusif di Malaysia.

“Sejak tahun 2021, sebanyak 40 kelulusan dengan geran berjumlah RM5.52 juta telah diberikan dan program ini merupakan kesinambungan kepada Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) di bawah Pelan Induk PKS (2012 sehingga 2020).

“Program tersebut adalah Program Inovasi Inklusif yang telah dilaksanakan dari 2016 sehingga 2020 dengan 62 kelulusan bernilai RM13.84 juta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, pihaknya yang juga rakan strategik telah memainkan peranan signifikan sebagai agensi pelaksana bagi program i-SEE yang melibatkan 40 inovator sejak 2021.

“Program ini berjaya melonjakkan kemahiran dalam bidang sains, teknologi, dan inovasi, meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang pekerjaan, menaikkan pendapatan, dan memperbaiki kesejahteraan masyarakat, khususnya kepada penerima geran dan komuniti setempat serta kumpulan sasaran.

“Berdasarkan kajian impak bagi projek i-SEE dari 2021 sehingga 2023, sebanyak 19 syarikat penerima dana telah berjaya meningkatkan hasil pendapatan tahunan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN