PHB lancar sukuk murabahah RM1.5 billion

PHB lancar sukuk murabahah RM1.5 billion, dilanggan lebih 2.2 kali

PHB dan Affin Hwang Investment Bank Berhad menandatangani perjanjian Program Sukuk Murabahah RM5 bilion bertaraf AAA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) menerbitkan Sukuk Murabahah sulungnya sebanyak RM1.5 bilion di bawah Program Sukuk Murabahah RM5 bilion bertaraf AAA.  

Menurut kenyataan, terbitan itu terdiri daripada RM1.4 bilion Sukuk Kelestarian Murabahah dan RM100 juta Sukuk Murabahah.

Jelasnya, PHB telah menyelesaikan penerbitan Sukuk Kelestarian Murabahah dan Sukuk Murabahah sulung dengan tempoh matang satu, tiga, lima dan tujuh tahun yang  dilaksanakan melalui penempatan persendirian dan proses pembinaan buku. 

“Penerbitan  sukuk ini mendapat permintaan kukuh daripada pelabur dengan lebihan langganan sebanyak 2.2 kali menjadikan jumlah tempahan hampir RM3 bilion dengan kadar keuntungan antara 3.49 peratus sehingga 3.91 peratus setahun. 

“Sukuk Kelestarian Murabahah mendapat sambutan baik daripada pelbagai segmen pelabur termasuk dana pencen, syarikat insurans, pengurus aset  dan institusi kewangan.  

“Program Sukuk Murabahah PHB terdiri daripada program Nota Jangka Sederhana Islam  (IMTN) dan program Kertas Komersial Islam (ICP), dengan nilai nominal gabungan sehingga  RM5 bilion. 

“Program-program ini distrukturkan berdasarkan prinsip Murabahah berasaskan  Tawarruq yang mematuhi syariah dengan fleksibiliti untuk menerbitkan tranche Sukuk Kelestarian Murabahah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, penerbitan bernilai RM5 bilion itu adalah kunci dalam mencapai matlamat jangka panjang untuk pertumbuhan lestari.

Katanya, ia juga mengukuhkan komitmen bagi memberikan nilai tambah berlandaskan prinsip syariah.

“Permintaan yang kukuh untuk penerbitan ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap  kekuatan kewangan PHB dan peranan strategik kami dalam merealisasikan mandat kerajaan  yang telah diberikan kepada kami.

“Program Sukuk Murabahah menyediakan modal penting mengembangkan portfolio pelaburan PHB yang patuh syariah melalui pemerolehan aset baharu, pembiayaan semula pinjaman sedia ada dan akan datang.

“Ini sekali gus meningkatkan pemilikan bumiputera dalam hartanah komersial utama melalui Amanah Hartanah Bumiputera (AHB),” katanya.

Hasil kutipan daripada terbitan sukuk kelestarian akan digunakan untuk membiayai semula projek pembangunan bagi mencapai  manfaat iklim, alam sekitar dan penambahbaikan aspek sosial selaras dengan Kerangka Sukuk Kelestarian. 

“Ini menunjukkan komitmen  PHB ke arah pembangunan hijau dan lestari sambil menjana nilai berpanjangan yang  memberi kesan positif kepada komuniti dan alam sekitar,” ujarnya.

Program Sukuk Murabahah berkenaan telah diberi penarafan kredit AAA/Stable dan P1 oleh  RAM Ratings. 

Ia adalah cerminan kedudukan kewangan PHB yang kukuh serta peranannya yang strategik dalam memajukan pemilikan dan penyertaan bumiputera dalam sektor  hartanah komersial negara selaras dengan mandat kerajaan. 

Selain itu, Program Sukuk Murabahah tersebut turut menerima Penarafan Kewangan Lestari Emas oleh RAM  Sustainability dengan penetapan Manfaat Alam Sekitar dan Manfaat Sosial.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN