Pemaju optimis terhadap pasaran hartanah separuh pertama 2025 - Utusan Malaysia

Pemaju optimis terhadap pasaran hartanah separuh pertama 2025

HO Hon Sang (tengah) pada sidang akhbar Tinjauan Industri Hartanah Separuh Pertama 2024 dan Prospek Pasaran Separuh Kedua 2024 dan Separuh Pertama 2025 di Wisma Rehda di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemaju hartanah mengekalkan prospek ‘neutral’ bagi pasaran hartanah untuk separuh kedua tahun ini, tetapi lebih optimis untuk separuh pertama 2025, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda).

Presidennya, Datuk Ir Ho Hon Sang berkata, pemaju akan berhati-hati untuk meningkatkan harga hartanah bagi separuh kedua tahun ini memandangkan 40 peratus daripada pembangunan hartanah kediaman yang dibangunkan tergolong dalam harga kawalan.

Katanya, ini termasuk projek perumahan di bawah skim seperti Rumah Selangorku, Residensi Madani dan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

“Kos untuk menjalankan perniagaan sudah semestinya semakin meningkat terutamanya harga bahan binaan yang meningkat, peningkatan Cukai Perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus dan kos logistik.

“Semua komponen ini akan menyumbang kepada kos pemaju. Bagaimanapun, ada sesetengah projek telah pun dilancarkan atau kontrak telah diberikan, jadi harga telah dikunci.

“Kebanyakan pemaju tidak pasti sama ada akan ada peningkatan. Namun begitu, jika ada sebarang peningkatan saya rasa tidak terlalu signifikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Tinjauan Industri Hartanah Separuh Pertama 2024 dan Prospek Pasaran Separuh Kedua 2024 dan Separuh Pertama 2025 di Wisma Rehda di sini, hari ini.

Hon Sang berkata, tinjauan yang mengumpulkan maklum balas daripada 162 ahli Rehda melaporkan bahawa unit yang dilancarkan meningkat tujuh peratus kepada 11,814 unit pada separuh pertama 2024 berbanding 11,032 unit pada separuh kedua 2023.

Katanya, prestasi jualan juga mencatatkan pertumbuhan kecil dengan 13,445 unit dijual (separuh kedua 2023: 12,017 unit), di mana 65 peratus atau 8,699 unit adalah daripada jumlah unit tidak terjual pada separuh pertama 2024 dan selebihnya adalah daripada pelancaran baharu pada separuh pertama 2024.

Jelasnya, tinjauan juga mendapati jenis hartanah yang paling dicari ialah kediaman servis dan rumah teres dua hingga tiga tingkat.

“Walaupun tinjauan itu tidak menggambarkan semua projek yang dilancarkan atau jualan yang dibuat dalam tempoh yang ditinjau, hasilnya adalah petunjuk industri yang stabil walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Kami berharap aliran menaik akan berterusan dan mod pemulihan akan kekal lancar untuk pemain industri. Sebarang peningkatan dalam stok perumahan akan terus membantu menjadikan perumahan lebih mampu milik untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN