Pemaju mahu pengurangan caj pembangunan, pengecualian levi - Utusan Malaysia

Pemaju mahu pengurangan caj pembangunan, pengecualian levi

HO Hon Sang (tengah) pada sidang akhbar Tinjauan Industri Hartanah Separuh Pertama 2024 dan Prospek Pasaran Separuh Kedua 2024 dan Separuh Pertama 2025 di Wisma Rehda di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemaju hartanah memohon kerajaan mempertimbangkan pengurangan caj pembangunan, premium penukaran tanah yang lebih rendah dan pengecualian caj caruman utiliti daripada kerajaan untuk membantu mereka dalam pembangunan rumah mampu milik.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Ir Ho Hon Sang berkata, tiga aspek itu penting untuk menyokong pemaju melaksanakan seruan kerajaan supaya membantu lebih ramai rakyat negara ini memiliki kediaman sendiri.

Ujarnya, sebagai pemaju yang bertanggungjawab, ahlinya memahami kewajipan mereka terhadap industri dengan mematuhi arahan kerajaan untuk membina rumah mampu milik.

“Bagaimanapun, lebih banyak insentif harus ditawarkan atau memerlukan semakan untuk memastikan peruntukan itu mampan untuk pemaju dalam jangka masa panjang.

“Membuat perubahan ini kepada keperluan sedia ada akan menjadikan perumahan pasaran bebas lebih mampu milik untuk M40, yang kini menanggung beban subsidi bersilang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Tinjauan Industri Hartanah Separuh Pertama 2024 dan Prospek Pasaran Separuh Kedua 2024 dan Separuh Pertama 2025 di Wisma Rehda di sini, semalam.

Sementara itu, Rehda juga berharap kerajaan dapat melaksanakan kajian berkaitan penawaran dan permintaan untuk pasaran hartanah mampu milik berdasarkan sumber daripada beberapa agensi yang berkaitan dengan perumahan.

Ujarnya, kajian tersebut perlu meliputi harga rumah yang sesuai serta lokasi yang menjadi permintaan.

“Seterusnya, kami ingin meminta pengecualian levi satu peratus kepada HRD Corp. yang sudah ada sejak sekian lama.

“Ini adalah perbelanjaan pembangunan sumber manusia. Setiap RM1 juta yang kami belanja, kami perlu bayar kepada HRD Corp sebanyak RM10,000 untuk tujuan latihan.

“Selain itu, kami juga mengharapkan pengurangan cukai dari segi pembangunan hijau dan Sistem Binaan Berindustri (IBS). Ini supaya kita boleh membayar cukai yang lebih rendah dan mengimbangi peningkatan kos dalam menerima pakai agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN