PETALING JAYA: Pelabur asing bersih membeli ekuiti di Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut pada minggu lalu, kata MIDF Amanah Investment Bank Berhad.
Menurut Laporan Aliran Dana minggu berakhir 30 Ogos 2024, pelabur asing membeli bersih setiap hari minggu lalu dengan jumlah keseluruhan sehingga RM1.5 bilion.
Katanya, ini adalah jumlah belian bersih mingguan bersih tertinggi yang dilihat tahun ini dan tertinggi sejak minggu berakhir 18 Mac 2016.
“Tiga sektor teratas yang dibeli bersih oleh pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan (RM1.30 bilion), utiliti (RM259.7 juta) dan pembinaan (RM88.7 juta).
“Tiga sektor teratas yang mereka jual bersih ialah teknologi (RM60.4 juta), pengangkutan dan logistik (RM57.2 juta) dan produk dan perkhidmatan perindustrian (RM41.0 juta),” katanya.
Bank pelaburan berkata, institusi tempatan menjual bersih RM1.26 bilion minggu lepas, tertinggi sejak minggu berakhir 4 Mac 2022 dan mereka beli bersih RM13.9 juta pada hari Isnin tetapi menjual bersih dari Selasa hingga Jumaat.
“Peruncit tempatan menjual bersih untuk minggu kedua berturut-turut pada RM245.4 juta. Mereka hanya beli bersih RM26.3 juta pada hari Khamis tetapi menjual bersih sepanjang minggu.
“Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan sebanyak 49.9 peratus dalam kalangan pelabur asing, manakala institusi tempatan dan peruncit tempatan mengalami penurunan masing-masing sebanyak 0.4 peratus dan 2.8 peratus,” ujarnya. – UTUSAN










