PETALING JAYA: MIDF Research melihat banyak potensi pengukuhan untuk pasaran ekuiti tempatan dalam beberapa bulan kedepan, didorong oleh aliran masuk dana asing ke dalam aset ringgit.
Firma penyelidikan itu berkata, perkara itu juga disokong oleh kelemahan relatif dolar Amerika Syarikat (AS) akibat jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.
“Faktor lain yang mendorong adalah pelaburan berdasarkan prospek makro dan keuntungan korporat yang sihat serta penilaian saham yang agak murah.
“Secara keseluruhan, musim keputusan suku kedua 2024 adalah agak positif seperti dibuktikan oleh peningkatan semula anggaran keuntungan keseluruhan bagi kedua-dua komponen indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang dipantau MIDF dan MIDFR Universe.
“Kami mengekalkan sasaran FBM KLCI, FBM Hijrah, dan FBM70 untuk 2024 masing-masing kepada 1.750 mata atau nisbah pendapatan harga (PER) 2025 sebanyak 14.8 kali, 14,100 mata atau PER 2025 sebanyak 20.4 kali dan 18.900 mata atau PER 2025 sebanyak 15.9 kali,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Menurut MIDF Research, keuntungan keseluruhan yang dilaporkan oleh syarikat-syarikat di bawah liputan MIDFR Universe adalah RM23.8 bilion pada 2024.
“Ia mencatatkan pertumbuhan positif dari segi tahun ke tahun sebanyak 29.1 peratus dan 14 peratus dari segi suku tahun ke suku.
“Sektor-sektor seperti tenaga, perkhidmatan kewangan, industri P&S (produk dan perkhidmatan), perladangan, hartanah, Amanah Pelaburan Hartanah (REIT), telekomunikasi dan media dan utiliti mencatatkan peningkatan keuntungan keseluruhan.
“Ini seperti dilaporkan pada suku kedua 2024 jika dibandingkan dengan suku tahun sebelumnya dan tempoh sama tahun lalu.
“Sebaliknya, hanya sektor produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan pertumbuhan keuntungan yang negatif dari segi berurutan dan tahun ke tahun pada suku kedua tahun ini,” katanya.
Sementara itu, mengenai sektor pembinaan, jelasnya, empat syarikat termasuk IJM Corp, Sunway Construction dan Cahya Mata Sarawak telah memenuhi jangkaan pada 2024, manakala Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Malayan Cement Bhd (LMCB) menghasilkan kejutan positif untuk suku tahun tersebut.
“Sektor ini akan menyaksikan peningkatan bil tuntutan kemajuan pada suku-suku akan datang seiring dengan kemajuan pembinaan yang meningkat, di samping jumlah projek yang bakal dilaksanakan semakin baik.
“Ia didorong oleh projek bangunan industri dan jangkaan pelaksanaan pekerjaan awam yang lebih kuat pada separuh kedua 2024.
“Kami kekal positif terhadap sektor pembinaan dengan pilihan utama kami adalah IJM Corp (beli, harga sasaran (TP) RM3.89) dan Malayan Cement (beli, TP: RM6.60),” katanya.-UTUSAN










