PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd (Northport), ahli kumpulan MMC, telah mencatat satu lagi pencapaian dengan kejayaan memecahkan rekod bulanan kendalian kontena dan kargo konvensional untuk bulan kedua berturut-turut.
Northport mengendalikan kontena sejumlah 365,558 TEU (Unit Bersamaan Dua Puluh Kaki) pada Ogos iaitu kendalian kontena bulanan tertinggi syarikat, mengatasi rekod sebelumnya iaitu sebanyak 354,548 TEU yang dicatatkan hanya sebulan sebelumnya.
Syarikat juga memecahkan rekod bulanan kargo konvensionalnya dengan pengendalian 1,145,021 FWT (Freight Weight Tonnes), mengatasi rekod sebelumnya iaitu 1,143,318 FWT, juga dicatatkan pada Julai 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, prestasi pecah rekod syarikat yang konsisten bulan demi bulan adalah gambaran yang jelas tentang pengembangan kapasiti dan peningkatan kecekapan syarikat dalam menguruskan kendalian kargo yang semakin meningkat.
“Pencapaian ini menyerlahkan daya tahan dan keupayaan kami dalam bertindak balas kepada cabaran global dan perubahan perdagangan antarabangsa.
“Dengan meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan kami secara berterusan, kami telah mengukuhkan peranan Northport sebagai pintu masuk penting untuk perkapalan global, yang mampu memenuhi keperluan pelanggan dalam keadaan pasaran yang dinamik,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, prestasi pecah rekod berganda yang dicatat oleh Northport pada Ogos 2024 terhasil daripada beberapa faktor termasuk peningkatan ketara dalam ketibaan kapal ad-hoc.
Katanya, dari Januari hingga Ogos 2024, Northport menerima sejumlah 171 singgahan kapal ad-hoc.
“Selain peningkatan dalam singgahan kapal ad-hoc, Northport turut berjaya menarik beberapa perkhidmatan perkapalan baharu ke terminalnya. Laluan perkhidmatan baharu ini telah meluaskan rangkaian Northport, dan membolehkan kendalian yang lebih besar melalui pelabuhan ini,” katanya.
Azman Shah berkata, dari Januari hingga Ogos 2024, Northport telah merekodkan sejumlah 13 perkhidmatan perkapalan baharu di pelabuhannya.
“Faktor-faktor luaran ini dipacu oleh komitmen Northport terhadap kecemerlangan operasi yang dizahirkan melalui pelaburan dalam penambahbaikan infrastruktur dan proses operasi secara berterusan.
“Lapangan kontena baharu, Blok K, telah beroperasi secara separa dan menyumbang kepada kendalian kontena yang lebih tinggi pada bulan Ogos. Lapangan kontena ini dijangka siap sepenuhnya pada bulan September 2024,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, faktor lebih utama adalah komitmen jitu kakitangan syarikat dalam mengejar kecemerlangan tanpa henti, yang telah memainkan peranan penting dalam memacu prestasi pecah rekod ini.
“Pencapaian terbaharu ini telah meletakkan Northport pada trajektori yang kukuh untuk berpotensi mengatasi rekod pengendalian kontena dan pengendalian kargo konvensional tahunan tertinggi menjelang akhir tahun ini.
“Kami berharap prestasi rekod ini akan membantu usaha kami dalam memastikan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai antara 10 pelabuhan paling sibuk di dunia pada 2024,” katanya.
Pelabuhan Klang, yang terdiri daripada Northport dan Westports, kini berada di kedudukan ke-11 dalam 100 pelabuhan global terbaik untuk 2023 oleh Lloyd’s List, meningkat daripada tangga ke-13 dalam 2022.
Pelabuhan Klang kini berada di landasan yang betul untuk menempatkan diri di antara 10 pelabuhan kontena paling sibuk di dunia untuk tahun 2024.
Azman Shah menegaskan, Northport bukan sahaja mengikuti arah aliran global, malah menetapkan penanda aras baharu dalam kecekapan operasi dan kecemerlangan perkhidmatan.
“Pelaburan strategik kami dalam infrastruktur dan teknologi dibuat bagi memastikan kami bukan sahaja memenuhi, tetapi juga melebihi jangkaan pelanggan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan kami bagi meletakkan Northport sebagai pelabuhan gerbang pilihan di Malaysia,” katanya.-UTUSAN










