TEKNOLOGI automotif bergerak pantas seiring dengan peredaran zaman.
Disebabkan teknologi, banyak yang telah dihasilkan dalam aspek kemajuan permotoran pada masa kini terutama dengan kemunculan pelbagai jenis kenderaan elektrik (EV).
Jenama Mercedes Benz tidak terkecuali menerusi model EQ untuk pasaran di negara ini iaitu EQE 500 4Matic SUV.
Secara asasnya kereta jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) ini mempunyai ciri yang hampir sama dengan jenama pesaing di pasaran.
Sebagai contoh, ruang kelegaan antara permukaan dan tapak kenderaan pastinya tinggi dengan penggunaan roda besar serta menampilkan ciri mewah.
Model SUV ini juga menampilkan rupa bentuk yang lebih elegan dengan penampilan tersendiri berbanding jenama SUV lain di pasaran.
Malah, banyak ciri-ciri lain yang mampu menjadikan model EQE 500 4Matic menjadi SUV idaman ramai untuk tahun ini.
Dengan berpeluang memandu uji kereta ini dari Kuala Lumpur sehingga ke Desaru, Johor, saya tidak hairan sekiranya model ini diintai peminat SUV terutama di negara kita.
Reka bentuk luaran
Model EQE SUV ini sememangnya menawan dan menarik perhatian ramai dengan rekaan terkini serta lebih tegap walaupun tidak berpenampilan gaya muda.
Jika dilihat pada sudut pandangan hadapan, kenderaan yang mempunyai ukuran panjang 4, 863 millimeter (mm) dengan lebar 1,940 mm serta berketinggian 1, 686 mm mempunyai gril panel hitam dipadankan dengan lampu digital light.
Selain itu, melihat di bahagian sisinya pula mempunyai pemegang pintu flush-fitting door handles berwarna krom berkilat menampakkan kekemasannya.
Roda aloi AMG bersaiz 21 inci turut menyerlahkan keyakinan jentera ini bagi meluncur laju dengan lebih stabil dan berkeyakinan tinggi .
Melengkapkan penampilan untuk jentera ini ialah bumper hitam AMG, lampu belakang LED helix 3D dan spoiler belakang berwarna hitam.
Di bahagian depan dan belakang kenderaan ini juga mempunyai kemasan bintang Mercedes, cukup untuk menceritakan tentang lambang status pemiliknya.
Ruang Dalaman dan Pemanduan
Melangkah masuk dan duduk ruang kabin EQE 500 4Matic ini, perasaan berada di dalam kenderaan mewah tidak dapat dinafikan.
Bahagian papan pemuka menampilkan ciri-ciri kokpit yang begitu moden dengan susun atur sangat kemas serta teknologi canggih.
Antara kelengkapan yang pasti membuatkan sesiapa sahaja teruja termasuklah sistem multimedia MBUX dan Android Auto serta Apple Carplay.
Ini sudah tentunya menjadi aplikasi utama untuk pemadanan sokongan sistem alat telekomunikasi pengguna.
Di samping itu, sistem infotainment menggunakan skrin paparan head-up di samping skrin kluster digital dengan sistem bunyi Dolby Atmos & Burmester 3D.
Paling penting ruang kabin juga turut mempunyai kemasan kayu magnolia dengan corak aluminium bintang jenama Mercedes Benz.
Seterusnya, tempat duduk bersalut kulit bercirikan sukan, karpet AMG, stereng dibalut kulit dan paddle shifter bergalvani.
Saya cukup minat konsep eksekutif yang seringkali mengaitkan penggunaan kulit di beberapa bahagian dalaman kereta terutama bahagian tempat duduk.
Walaupun ada yang kurang bersetuju dan mendakwa cuaca di negara kita yang kebanyakan masanya panas serta menyeksakan ketika parkir di bawah matahari, hakikatnya ia juga memberi kelebihan.
Sebabnya mudah. Kotoran tidak melekat dan senang dibersihkan lebih-lebih lagi sekiranya ada tumpahan.
Paling penting tempat duduk di bahagian hadapan juga boleh laras secara automatik dengan hanya menekan butang khas pada panel pintu.
Dalam pada itu, deruman enjin EQE 500 4Matic sungguh lembut tanpa ada sebarang bunyi ketika menekan suis untuk menghidupkan enjinnya.
Adakalanya saya sendiri tidak pasti sama ada enjin jentera ini sudah dihidupkan atau sebaliknya.Mujurlah ada paparan skrin untuk memastikan ia bersedia untuk di pacu.
Tujahan kuasa enjinnya juga cukup hebat dengan masa pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 4.9 saat.
Saya turut difahamkan kelajuan tertinggi yang mampu dicapai jentera ini ialah 210km/j (kilometer per jam) dan cukup baik untuk kenderaan yang mempunyai berat 2,560 kilogram (kg).
Ia juga cukup untuk lonjakan ketika saat yang memerlukan. Bagaimanapun, kelajuan berkenaan tidak tercapai ketika pandu uji baru-baru ini disebabkan kemampuan pemanduan saya yang bukanlah cekap dan berani sebagaimana pelumba profesional.
Selain itu, apa yang menarik perhatian saya ialah gearnya ibarat tombol ‘lampu isyarat’ dan anda cuma perlu menolaknya ke atas atau ke bawah untuk bergerak (D, N, R).
Sementara itu, untuk parkir pula, anda hanya perlu menekan tombol khas. Selain itu, jentera ini tidak mempunyai handbreak (brek tangan) dan ia berfungsi secara automatik pada pedal brek.
EQE 500 4Matic ini juga turut didatangkan dengan sistem bantuan pemanduan elektronik seperti kebanyakan kenderaan-kenderaan SUV masa kini antaranya bantuan pemanduan dalam lorong, kamera 360 darjah, bantuan parkir dengan sistem PARKTRONIC ,bantuan pemberhentian kecemasan, bantuan jarak aktif DISTRONIC serta bantuan pengesanan halangan/kenderaan di kawasan titik buta pemanduan.
Ciri lain yang ada pada kereta ini termasuk sistem pencahayaan ambien yang sungguh cantik , kawalan iklim automatik, pakej Acoustic Comfort, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar yang banyak dan pakej energizing serta air balance.
Sementara itu, untuk penggunaan bateri berkapasiti 90.6 kWh (kilowatt jam) pula membolehkan jentera ini bergerak sejauh 552 km selepas di caj penuh.
EQE SUV in menyokong kuasa arus ulang alik sehingga 22 kilowatt (kw) dengan pengecasan dari 0 sehingga 100 peratus dapat dilakukan dalam tempoh 4 jam 45 minit.
Untuk pengecasan arus terus (dc) sebanyak 170 kw boleh disempurnakan dalam tempoh 32 minit sahaja.
Kesimpulan
Walau apapun, Mercedes-Benz EQE 500 4Matic cukup sedap mata memandang dan tidak keterlaluan untuk mengatakan mempunyai prestasi terbaik.
Kenderaan ini boleh didapati pada harga RM485,888 (termasuk cukai jalan, insurans dan kos pendaftaran) mampu membuatkan sesiapa sahaja menoleh apabila menyelusuri jalan raya.-u










