SEREMBAN: Syarikat pemaju perumahan dan hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) akan mengadakan acara bagi meraikan perayaan tradisional masyarakat Cina iaitu Perayaan Pertengahan Musim Luruh pada 7 dan 8 September ini.
Ketua Pegawai Pemasaran Matrix Concepts, Lim Kok Yee berkata, juga dikenali sebagai Pesta Cahaya Bulan Emas, acara tersebut akan diadakan di dua lokasi iaitu Matrix Galleria Eka Heights dari pukul 10 pagi hingga 3 petang dan di Matrix Galleria Bayu Sutera, Bandar Sri Sendayan dari pukul 5 petang hingga 10 malam.
“Pada majlis berkenaan, acara akan berlangsung meriah dengan dihiasi tanglung berwarna-warni, keenakan pelbagai jenis kuih bulan dan suasana ceria ahli keluarga.
“Festival Pertengahan Musim Luruh adalah masa untuk keluarga, tradisi serta komuniti dan kami teruja untuk membawakan sambutan ini ke Bandar Sri Sendayan.
“Kami berhasrat untuk mewujudkan persekitaran yang mesra buat semua hadirin, sambil turut mempamerkan persembahan unik di Eka Heights dan Bayu Sutera,” katanya lagi.
Jelas beliau, pelbagai tarikan ditampilkan sepanjang acara berlangsung termasuklah hiasan sempena perayaan, tarian singa LED, tarian kebudayaan dan persembahan akrobatik Cina sambil pengunjung turut boleh menikmati hidangan lazat yang disediakan.-UTUSAN










