MARDI, UGM kerjasama dalam penyelidikan teknologi pertanian pintar - Utusan Malaysia

MARDI, UGM kerjasama dalam penyelidikan teknologi pertanian pintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Universiti Geomatika Malaysia (UGM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan kerjasama strategik kedua-dua pihak dalam bidang penyelidikan teknologi pertanian pintar.

Menurut kenyataan, kerjasama itu akan memanfaatkan penggunaan aplikasi geomatik, penderiaan jauh, sistem maklumat geografi (GIS) dan teknologi dron.

“Kerjasama ini dijangka membuka jalan untuk pelaksanaan kerjasama penyelidikan dalam bidang bioteknologi, nanoteknologi, sains makanan dan teknologi makanan yang menjadi salah satu keutamaan MARDI menyokong aspek keterjaminan dan keselamatan makanan negara.

“MoU ini juga akan membuka ruang yang lebih luas kepada kedua belah pihak untuk menggunakan sumber dan kemudahan-kemudahan penyelidikan.

“Ini seperti makmal, instrumentasi dan plot penyelidikan bagi memberi latihan, kemahiran dan peluang merasai sendiri kerja di lapangan kepada pelajar-pelajar UGM,” katanya.

Jelasnya, MARDI dan UGM juga bersetuju untuk mengadakan lebih banyak latihan pelajar, kursus jangka pendek, sangkutan kerja dan penyelidikan akademik.

“Usaha ini bagi membantu melahirkan sumber manusia dan tenaga kerja dalam bidang penyelidikan dan teknologi pertanian,” katanya.

Majlis Pertukaran MoU disempurnakan oleh Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Timbalan Predisen II UGM, Prof. Datuk Mazrin Rohizaq Che Rose.

Hadir sama dalam majlis berkenaan Naib Canselor UGM, Prof. Emeritus Datuk Ar. Dr. Elias Saleh, dan Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan MARDI, Dr. Ahmad Safuan Bujang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN