PETALING JAYA: Pemulihan prestasi Bursa Malaysia dapat membantu meningkatkan lagi nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang kini menunjukkan momentum positif, kata penganalisis.
Pada pukul 8 pagi semalam, ringgit naik kepada 4.3600/3720 berbanding dolar AS daripada 4.3700/3745 ketika ditutup pada Isnin, sebelum mengakhiri dagangan semalam pada 4.3400/3460.
Sementara itu, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pula dibuka tinggi pada 1,653.05 berbanding 1,651.49 pada penutup Isnin, sebelum ditutup pada 1,660.35, naik 8.86 mata.
Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, bursa kini berada sekitar 1,650 dan berpotensi melonjak melebihi 1,670 sekali gus dapat membantu ringgit mencecah kadar 4.30 pada hujung bulan ini.
“Jika FBM KLCI melebihi 1,670, ringgit mungkin mencapai 4.30, tetapi setakat ini, bursa masih belum menunjukkan pemulihan yang ketara. Kita perlu melihat Bursa Malaysia bergerak untuk membantu ringgit mencapai sasaran tersebut.
“Sekiranya ini berlaku, lebih banyak mata wang asing, terutamanya dolar AS akan memasuki Malaysia yang dijangka dapat membantu meningkatkan nilai ringgit.
“Bagaimanapun, walaupun ringgit mencapai paras tersebut, ia dijangka mengalami turun naik dalam lingkungan yang sama, bergantung kepada pemulihan pasaran saham,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pasaran saham, khususnya FBM KLCI dijangka meningkat dalam masa beberapa hari ini berikutan minat yang semakin tinggi terhadap Malaysia dan rantau Asia.
“AS juga dilihat masih kekal dengan perancangan untuk menurunkan kadar faedah kerana cuba untuk mengelakkan daripada inflasi berlaku di negara itu.
Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, berkata prestasi Bursa Malaysia positif berikutan kenaikan yang dicatatkan di pasaran saham Wall Street.
“Bagaimanapun, peserta pasaran masih berhati-hati kerana data inflasi yang akan diumumkan pada Rabu (hari ini) mungkin memberi kesan kepada keputusan penurunan kadar faedah di AS minggu hadapan.
“Namun, belian bersih oleh pelabur asing masih berterusan dengan nilai terkini mencatatkan RM69.7 juta pada 9 September, manakala dari 2 sehingga 9 September, belian bersih berjumlah RM867.9 juta. Pada Ogos lalu, belian bersih mencatatkan RM2.5 bilion,” jelasnya.
Afzanizam turut menyatakan bahawa kemasukan modal asing ke dalam pasaran modal seperti bon dan saham seharusnya positif bagi ringgit kerana ia akan mewujudkan permintaan yang tinggi terhadap ringgit Malaysia.
“Pasaran saham Malaysia kini berada dalam zon yang sihat, dengan minat belian oleh pelabur asing yang terus meningkat sejajar dengan prestasi ekonomi dan keuntungan syarikat yang baik.
“Oleh itu, potensi untuk FBMKLCI terus meningkat dilihat tinggi dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN










