PETALING JAYA: icapital.biz Bhd (ICAP), satu-satunya dana tertutup tersenarai di Malaysia mengisytiharkan dividen interim sulungnya sebanyak 10.41 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025.
Menurut kenyataannya, pelan pelaburan semula dividen (DRP) syarikat ini juga akan diguna pakai untuk keseluruhan bahagian dividen interim ini.
Ini bermaksud pemegang saham akan diberi pilihan untuk melabur semula dividen interim mereka ke dalam saham ICAP baharu.
“Pihak lembaga ICAP juga menetapkan harga terbitan saham baharu yang akan diterbitkan berikutan DRP pada RM2.92 sesaham.
“Harga terbitan ini menghampiri harga pasaran purata wajaran volum lima hari sejurus sebelum tarikh penetapan harga RM3.02 dan merupakan dividen ex-interim.
“Tarikh kelayakan bagi dividen interim akan diumumkan selepas kelulusan diperolehi daripada Bursa Malaysia untuk penyenaraian dan sebut harga saham baharu,” katanya.
Orang yang dilantik ICAP, Tan Teng Boo berkata, ICAP mereka bentuk dasar dividen yang sangat inovatif ini untuk menangani keperluan pelbagai pemilik saham.
Katanya, ini meliputi mereka yang mencari peningkatan modal jangka panjang, memerlukan pengagihan tetap dan mereka yang mungkin memerlukan tunai dalam pegangan mereka.
“Sementara itu, DRP menunjukkan kami yakin dengan prospek pertumbuhan ICAP.
“Jika pemegang saham percaya pada peningkatan modal jangka panjang ICAP, DRP menyediakan jalan yang baik untuk pemegang saham mengekalkan penyertaan mereka dalam ICAP,” ujarnya.
Untuk makluman, dasar dividen inovatif ICAP pertama kali diumumkan pada 29 September 2023.-UTUSAN










