Hartasuma, Downer Group, PT Len Railway Systems berkerjasama

Hartasuma, Downer Group, PT Len Railway Systems jalin kerjasama strategik

PERJANJIAN kerjasama strategik Hartasuma dengan Downer Group dan PT Len Railway Systems
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartasuma Sdn. Bhd. (Hartasuma) syarikat Malaysia terkemuka dalam perkhidmatan dan kenderaan rel, memeterai dua perjanjian kerjasama strategik berasingan dengan penyedia sistem rel dan transit utama, Downer Group dan PT Len Railway Systems.

Perjanjian itu berlangsung sempena pelancaran Pavilion Malaysia di Innotrans 2024, pameran industri rel terbesar di dunia di Innotrans 2024, di Berlin, Jerman.

Syarikat berkata, perjanjian itu merupakan langkah bagi mempercepatkan pengembangannya di peringkat serantau, memanfaatkan peralihan kepada tenaga lestari serta peningkatan pelaburan dalam infrastruktur rel di seluruh ASEAN.

“Downer Group merupakan penyedia perkhidmatan infrastruktur integrasi terbesar di Australia dan New Zealand,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, keupayaan kumpulan itu merangkumi stok kenderaan rel, infrastruktur, sistem rel, operasi dan penyelenggaraan, integrasi sistem, inovasi kejuruteraan serta penyelesaian digital dan data.

“Syarikat ini merancang, membina dan menyelenggara projek kenderaan rel terkemuka termasuk kereta api Waratah yang terbesar di Australia dengan 119 tren.

“Perjanjian antara Hartasuma dan Downer menyatukan kedua-dua syarikat untuk inisiatif nyahkarbon, inovasi kejuruteraan dan penyelesaian digital.

“Hartasuma dan Downer juga akan berkongsi amalan terbaik dalam inisiatif kepelbagaian dan keterangkuman (D&I) dengan menggunakan amalan terbaik dari Australia untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor rel di Malaysia,” katanya.

Jelas kenyataan itu, PT LRS merupakan anak syarikat PT LEN, penyedia terbesar Indonesia untuk aplikasi rel dan sistem keselamatan.

Selain itu, Hartasuma dan PT LRS akan bekerjasama dalam pembangunan subsistem rel termasuk isyarat dan meneroka inisiatif nyahkarbon yang menggalakkan teknologi rel hibrid.

“Sistem rel hibrid biasanya menggabungkan sistem pemacu diesel dan elektrik yang berpotensi mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 50 peratus berbanding tren yang bergantung sepenuhnya kepada diesel,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon berkata, rel adalah salah satu mod pengangkutan yang paling cekap tenaga untuk kargo dan penumpang.

“Walaupun rel membawa lapan peratus penumpang dunia dan tujuh peratus pengangkutan kargo global, ia hanya mewakili dua peratus daripada keseluruhan permintaan tenaga pengangkutan.

“Jelas sekali, terdapat potensi besar untuk mengurangkan pelepasan karbon dengan beralih kepada pengangkutan rel untuk kargo dan penumpang serta mengejar dekarbonisasi rel,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN