Hartalega peruntuk capex RM300j untuk automasi pengeluaran

Hartalega peruntuk capex RM300j untuk automasi pengeluaran

HARTALEGA mencatatkan keuntungan selepas cukai lebih tinggi berjumlah RM32 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2024.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM300 juta untuk 12 bulan akan datang, dengan sebahagian besar diperuntukkan kepada barisan pengeluaran sarung tangan getah.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, daripada jumlah itu, RM170 juta akan digunakan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, manakala selebihnya adalah untuk menaik taraf automasi barisan pengeluaran.

Katanya, syarikat kini telah mengautomasi kira-kira 85 peratus daripada proses pengeluaran dan merancang untuk mencapai automasi sepenuhnya pada tahap 100 peratus.

“Dengan perubahan dalam landskap persaingan, kami bercadang untuk meningkatkan lagi teknologi melalui pelaburan besar dalam bidang automasi.

“Peningkatan automasi secara menyeluruh ini dijangka dapat mengurangkan tenaga buruh manual sebanyak 15 peratus hingga 20 peratus untuk meningkatkan hasil pengeluaran syarikat dan menaikkan kualiti produk,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Hartalega di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mun Leong berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan jualan sebanyak RM2.7 bilion menjelang akhir tahun kewangan 2025 ekoran jualan bulananya kini yang mencecah RM2.2 bilion.

Sementara itu, Hartalega mencatatkan keuntungan selepas cukai lebih tinggi berjumlah RM32 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2024, pemulihan nyata daripada kerugian selepas cukai sebanyak RM51 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. 

“Peningkatan keuntungan tersebut dicapai berasaskan hasil RM584 juta, yang melonjak 33 peratus secara tahunan disokong oleh pemulihan margin operasi pada suku pertama, ,” katanya.

Jelas Hartalega, kumpulan juga telah meningkatkan kecekapan operasi dengan kadar penggunaan kilang yang lebih tinggi dan struktur kos yang lebih rendah hasil penyusunan semula operasi dengan penutupan kilang Bestari Jaya.

Syarikat juga telah melaksanakan penggabungan seluruh operasi pengeluaran di kemudahan bersepadu Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) yang lebih canggih dan cekap.

Mun Leong berkata, sektor sarung tangan getah menunjukkan tanda-tanda awal pemulihan dan beransur-ansur beralih daripada kegawatan pasaran yang dialami selepas pandemik. 

“Walaupun tinjauan semasa bagi industri tetap mencabar, kami bersedia untuk menghadapi cabaran yang menanti. 

“Kami tetap optimistik terhadap prospek jangka panjang sektor sarung tangan getah,”  katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN