FBM KLCI diunjur capai 1,720 akhir tahun ini

FBM KLCI diunjur capai 1,720 akhir tahun ini

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia diunjur meningkat kepada 1,720 mata menjelang akhir tahun ini susulan prospek domestik yang lebih baik, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Firma penyelidikan itu menyemak naik sasaran akhir 2024 bagi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI)  Bursa Malaysia daripada 1,680 mata sebelum ini.

Menurutnya, mereka kekal optimis mengenai prospek domestik Malaysia tetapi berhati-hati terhadap faktor luaran.

“Mengambil kira keseimbangan risiko (domestik dan antarabangsa), kami menaikkan sasaran KLCI akhir 2024 kami kepada 1,720 mata berdasarkan penilaian purata,” katanya dalam nota penyelidikan.

Jelas Maybank IB, tumpuan utama jangka pendek adalah Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan pada 18 Oktober 2024 dan pemeteraian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada November 2024.

Turut mendapat perhatian firma penyelidikan itu ialah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadualkan pada 2025.

“Kami juga memperkenalkan sasaran awal kami bagi FBM KLCI untuk akhir tahun 2025 sebanyak 1,840 mata,” katanya. 

Maybank IB juga menjangkakan semua sektor akan mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi pada 2024 kecuali sektor Pengguna yang dijangka tidak berubah dan Media dengan unjuran pertumbuhan negatif.

“Kami juga menjangkakan sektor sarung tangan dan penerbangan akan kembali ke arah keuntungan,” katanya. 

Maybank IB turut kekalkan saranan wajaran tinggi kepada sektor perbankan, pembinaan, pengguna, perjudian, minyak dan gas, hartanah, teknologi dan penerbangan. 

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, jangkaan 1,720 ini adalah berdasarkan kepada kemungkinan kemasukan pelabur asing ke dalam pasaran saham Malaysia. 

“Kita telah pun menyaksikan kemasukan pelabur pada Julai dan Ogos. 

“Namun, dari segi peratusan pemilikan, ia masih rendah iaitu sekitar 19.5 peratus pada Jun 2024 berbanding 24.1 peratus pada April 2018 dan Mei 2018 yang mana indeks FBMKLCI pada ketika itu berada paras 1,895.18 mata pada 19 April 2018,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×