EV: Minat meningkat, masa sesuai untuk peralihan?

EV: Minat meningkat, masa sesuai untuk peralihan?

PENDAFTARAN kereta EV di negara ini meningkat sebanyak 142 peratus tahun ke tahun kepada 10,663 kereta elektrik sepenuhnya pada separuh pertama 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENERIMAAN kenderaan elektrik (EV) di Malaysia menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan sejak kebelakangan ini, apabila jualan terhadap jenis kenderaan yang lebih mesra alam semakin meningkat.

Perkara ini juga mencerminkan peralihan masyarakat ke arah penggunaan kenderaan yang lebih mesra alam.

Namun begitu, masih ramai ragu-ragu untuk beralih kepada kenderaan jenis ini didorong beberapa faktor termasuk infrastruktur yang masih lagi terhad di Malaysia serta ketahanan bateri kenderaan itu sendiri.

Selain itu, harganya yang lebih tinggi berbanding kenderaan konvensional juga melambatkan lagi peralihan bagi sebahagian besar rakyat negara ini. 

Penganalisis automotif, Shamsul Yunos berkata, pendaftaran kenderaan elektrik di Malaysia telah meningkat dua kali ganda pada separuh pertama tahun ini berbanding tahun lepas, menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap EV dalam kalangan pengguna. 

Katanya, minat terhadap EV sedang meningkat kerana berita mengenainya semakin kerap dilihat di dada akhbar dan media sosial, sekali gus membantu rakyat lebih memahami dan mengenali teknologi EV serta menjadikan mereka lebih yakin untuk mencuba kenderaan ini.

“Jumlah model kereta elektrik yang ditawarkan di Malaysia juga semakin meningkat dan julat harga juga semakin menurun dan kini terdapat banyak model yang berada pada tahap harga RM100,000 hingga RM150,000 yang boleh menjadi pilihan kereta tambahan untuk golongan M40.

“Faktor gaya hidup dan status yang meletakkan EV sebagai satu daripada simbol status terkini juga memainkan peranan dalam menarik minat pembeli Malaysia ke arah kenderaan elektrik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan EV di Malaysia meningkat sebanyak 112 peratus melibatkan 6,617 unit pada separuh pertama 2024 berbanding 3,117 unit yang direkodkan dalam tempoh sama 2023.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd. melaporkan pendaftaran kereta EV di negara ini meningkat sebanyak 142 peratus tahun ke tahun kepada 10,663 kereta elektrik sepenuhnya pada separuh pertama 2024. 

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, walaupun terdapat pertumbuhan dalam pendaftaran EV, infrastruktur pengecasan masih terhad, terutamanya di kawasan luar bandar. 

“Kebanyakan pengecas terletak di bandar-bandar utama, yang menjadikan perjalanan jauh ke kawasan kecil seperti Perlis sedikit mencabar.

“Namun, sebenarnya terdapat pengecas sepanjang Lebuhraya Utara Selatan pada jarak kurang 70 kilometer (km) antara lokasi. Walaupun pada sesetengah lokasi perlu keluar dari lebuh raya, jarak dari tol adalah tidak terlalu jauh, iaitu sekitar lima hingga 10km,” ujarnya.

Jika bercakap tentang kos berbanding kenderaan petrol, beliau berkata, setakat ini penjimatan adalah sekitar RM30 adalah wajar untuk pemandu jarak biasa.

“Tetapi untuk pemandu yang kerap melebihi purata di Malaysia, penjimatan adalah lebih besar kerana kos tenaga adalah sekitar 10 sen/km untuk EV berbanding dengan 16 sen hingga 17 sen/km untuk kenderaan petrol,” ujarnya.

Menurutnya, pelancaran Proton e.Mas kelak berpotensi menggegarkan pasaran EV di Malaysia dan mengubah corak pembelian kereta ke arah teknologi yang lebih menjimatkan.

Beliau berkata, pasaran EV dijangka akan memasuki fasa umum atau mass market sekitar tahun 2030.

Tambahnya, sehingga itu pasaran EV akan terhad kepada golongan T20 dan M40 yang mempunyai keselesaan kewangan untuk mencuba teknologi baharu.

“Apabila bermula abad baharu nanti, teknologi EV sudah menjadi biasa dan kebanyakkan pembeli dijangka akan menjadi lebih yakin untuk membelinya sebagai ganti kepada kenderaan enjin bakaran dalaman (ICE),” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×