Bursa Malaysia dijangka cecah 1,780 mata menjelang akhir tahun - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia dijangka cecah 1,780 mata menjelang akhir tahun

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka mencatatkan aliran meningkat dengan indeks utama FBM KLCI dijangka melepasi paras 1,780 mata menjelang akhir tahun ini, sekali gus kekal menjadi pasaran saham terbaik di ASEAN.

Ketua Penyelidik Rakuten Trade, Kenny Yee berkata, pasaran saham tempatan akan menguji paras itu berdasarkan 16.8 kali nisbah pendapatan harga (PER) berasaskan pertumbuhan pendapatan 16 peratus tahun ini.

Menurutnya, berdasarkan 15.5 kali PER semasa, indeks penanda aras pasaran saham itu juga dijangka berada di sekitar paras 1,810 mata pada 2025.

“Selain itu, pengembalian dana oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dijangka memainkan peranan penting untuk meningkatkan kecairan dalam pasaran saham tempatan.

“Enam GLIC teratas menguruskan hampir RM1.9 trilion secara kolektif dan dengan andaian 10 hingga 15 peratus atau sekitar RM190 bilion hingga RM285 bilion daripada jumlah tersebut akan dilaburkan di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pembentangannya dalam Majlis Outlook Media Briefing, di sini, semalam.

Kenny berkata, bagi setiap 10 peratus pengembalian semula dari bahagian luar negara boleh menghasilkan pengembalian ke bursa tempatan sekitar RM20 bilion hingga RM30 bilion.

“Iindeks FBM KLCI telah mendahului penanda aras pasaran saham ASEAN lain apabila mencatatkan jumlah peningkatan sebanyak 14 peratus setakat tahun ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai ringgit, beliau berkata, Rakuten Trade menjangkakan mata wang tempatan itu akan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada sekitar RM4.10 atau RM4.20 menjelang akhir tahun ini.

Ujarnya, pengukuhan ringgit berikutan Rizab Persekutuan (Fed) AS mengurangkan kadar pinjaman utama sebanyak setengah mata peratusan, kali pertama dalam tempoh lebih empat tahun.

“Ringgit merekodkan pemulihan sebanyak 12 peratus dan kekuatan itu adalah penting bagi keyakinan secara menyeluruh.

“Kami percaya ringgit kini sedang menjalani proses normalisasi dan dijangka mengukuh antara julat RM4.10 hingga RM4.20 menjelang akhir 2024.

“Namun, ia bergantung kepada perbezaan spread antara Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun kita berbanding hasil bon 10 tahun AS.

“Pergerakan ringgit mungkin berada di bawah paras RM4.00 jika perbezaan spread terus melebar daripada purata mudah antara 80 hingga 100 mata asas (bps) sejak 2000. Pada masa ini, spread berada di sekitar 20 bps,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN