LANGKAWI: Berjaya Langkawi Resort memperkenalkan pakej Fly Me Away: Rainforest Escape, menawarkan tetamu percutian ke Langkawi dengan menggabungkan penginapan selesa di resort dengan penerbangan sewa peribadi yang dikendalikan oleh Berjaya Air.
Pengurus Besar Kumpulan Berjaya Hospitality Group, Pravir Mishra berkata, pakej menarik ini memberikan tetamu resort keselesaan terbang terus dari Terminal SkyPark Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
“Kami teruja untuk memperkenalkan pakej ini kepada tetamu kami, memberikan mereka pengalaman perjalanan yang lancar dan menyeronokkan ke Langkawi.
“Dengan perjalanan tanpa kerumitan, pengembara akan menikmati keselesaan dan kemudahan yang tiada tandingan, membolehkan mereka menyelami keindahan Langkawi sepenuhnya dari saat mereka memulakan perjalanan mereka,” katanya selepas penerbangan sulung melalui pakej tersebut di sini, semalam.
Beliau berkata, pakej tersebut bermula pada harga RM812 seorang (bilik kongsi berkembar) atau RM1,624 untuk dua orang.
Katanya, pakej itu termasuk penginapan tiga hari dua malam dengan penerbangan pergi balik, sarapan pagi setiap hari, pemindahan lapangan terbang, bar mini harian percuma dan diskaun 20 peratus untuk makanan dan minuman.
Tambahnya, kelebihan penerbangan ini termasuk akses ke Sky Lounge di Terminal SkyPark Subang, elaun bagasi daftar masuk 15 kilogram (kg) bagi setiap orang, menaiki pesawat ekspres dan minuman di atas kapal dengan layanan yang paling mesra.
“Untuk penerbangan sulung ini kami menerima kira-kira 50 tetamu. Satu pesawat boleh membawa 68 penumpang dan jika kami mendapat lebih banyak tetamu, kami akan menambah satu lagi penerbangan. Ia adalah sebahagian daripada rancangan kami.
“Buat masa ini, kami terbang ke Langkawi sebanyak tiga kali seminggu. Kami menyasarkan dapat mencapai penumpang antara 80 hingga 100 peratus menjelang November ini,” ujarnya.-UTUSAN










