Berhenti kerja, jual karipap demi masa dengan anak

Berhenti kerja, jual karipap demi masa dengan anak

SUHAILA Janidi (tiga dari kiri) bersama pekerjanya di premis memproses karipap pusing Chesue Frozen Food di Subang Pelangi, Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIAT untuk meluangkan lebih banyak masa dengan anak menjadi pendorong kepada Suhaila Janidi, 48, untuk berhenti kerja dan membuka perniagaan kuih muih sejuk beku atas jenama Chesue Frozen Food pada 2010.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai perancang projek di syarikat minyak dan gas terpaksa berulang-alik serta menempuh kesesakan trafik dari rumahnya di Shah Alam ke Kuala Lumpur setiap hari untuk bekerja menjadikan waktu bersama anak pertamanya yang lahir pada 2008 agak terhad. 

Susulan itu, anak jadi Trolak Selatan, Perak itu nekad untuk mengorbankan kerjayanya demi masa istimewa bersama keluarga tercinta.

Bagi terus mempunyai sumber pendapatan, dia dengan restu dari suaminya telah memulakan Chesue Frozen Food dengan bermodalkan RM50,000.

Suhaila berkata, pada peringkat awal, peniagaannya terbahagi kepada dua iaitu, kafe sebelah depan dan pembuatan kuih muih sejuk beku di bahagian belakang.

Katanya, kafe tersebut juga bertujuan untuk memperkenalkan produknya kepada orang ramai supaya mereka dapat membeli dan merasakan sendiri kuih-muih yang dihasilkan.

“Apabila kami membuka kafe, kami akan mendapat maklum balas secara terus daripada pelanggan sama ada kuih itu perlu lebih pedas atau lebih manis.

“Kemudian, bila kami ingin mendapatkan pensijilan halal untuk produk premis pembuatan kuih sejuk beku kami, ia memerlukan kami untuk mendapatkan pensijilan halal untuk kafe juga. 

“Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk menutup kafe dan memberi tumpuan kepada menghasilkan kuih sejuk beku sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Ibu kepada tiga orang itu memberitahu, produk karipap sejuk bekunya menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2016.

Katanya, syarikat yang sebelum ini mempunyai pelbagai jenis kuih tradisonal yang lain juga kini memberi tumpuan kepada produk karipap pusing yang mendapat permintaan yang memberangsangkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambahnya, tumpuan kepada pengeluaran karipap sejuk beku sahaja menjadikan perniagaan lebih efisien dalam perniagaan dan memberi kecekapan dalam operasi.

“Chesue Frozen Food menawarkan lima jenis karipap sejuk beku iaitu daging, ayam, kentang, sadin dan juga telur pada harga pasaran bermula daripada RM6.50.

“Buat masa ini, produk kami telah memasuki pasaran pasar raya dan kami juga membekalkan karipap kepada hotel dan dapur utama atau central kitchen untuk rangkaian restoran,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN