KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retails Holdings Berhad (99 Speed Mart) tampil di Pasaran Utama Bursa Malaysia, dibuka pada harga tawaran awam (IPO) RM1.85 sen sesaham, mewakili premium 12.1 peratus dengan jumlah pembukaan sebanyak 53.8 juta saham.
Penyenaraian 99 Speed Mart merupakan IPO terbesar di Malaysia dalam tempoh tujuh tahun, telah mengumpulkan sejumlah RM2.36 bilion.
Terbitan awam 400 juta saham baharu telah mengumpulkan sehingga RM660 juta.
Kumpulan tersebut telah memperuntukkan 59 peratus untuk memperluaskan rangkaian cawangannya, 15 peratus untuk menubuhkan pusat pengedaran baharu, 8.3 peratus membeli trak penghantaran, manakala 7.2 peratus bagi menaik taraf cawangan sedia ada.
Pengarah Alternatif 99 Speed Mart, Albert Lee Yan Zhong berkata, 99 Speed Mart ketika ini mengendalikan lebih daripada 2,600 kedai di Malaysia dengan sasaran membuka 250 cawangan baharu setiap tahun.
“Ini adalah sebahagian daripada strategi untuk mencapai matlamat 3,000 kedai yang beroperasi di seluruh negara menjelang akhir tahun 2025.
“Kami berhasrat untuk terus memanfaatkan kekuatan jenama dan kepimpinan pasaran kami dengan memperluaskan jejak geografi di seluruh negara,” katanya kepada pemberita semasa sidang media Majlis Penyenaraian 99 Speed Mart di Pasaran Utama di Bursa Malaysia, di sini semalam.
Selain itu, kumpulan turut merancang untuk mengembangkan rangkaian pusat pengedaran (DC) dan meningkatkan keupayaan logistiknya di Malaysia.
“Dua DC baharu akan dibuka di Sarawak dan Selangor menjelang akhir tahun 2024 dan 2025. Syarikat juga menjangkakan sekurang-kurangnya 25 DC akan beroperasi menjelang akhir tahun 2027,” ujaranya.
Menurut Albert Lee, pihaknya juga merancang untuk memperbaharui barisan trak penghantaran dengan menumpukan kepada penggantian trak yang berusia lebih 15 tahun bagi memastikan penghantaran lebih cekap dan pantas.
Dalam usaha memperkukuhkan lagi keupayaan sumber, syarikat ini turut mengumumkan rancangan untuk meneroka pasaran antarabangsa, khususnya di rantau Asia Pasifik. Langkah ini dijangka akan meningkatkan keupayaan syarikat dalam aspek bekalan.
Selain itu, syarikat turut mensasarkan untuk memperluaskan operasi jualan pukal di seluruh Malaysia melalui model perniagaan berasaskan e-dagang.
“Kami akan melaksanakan operasi jualan pukal secara berperingkat di kawasan di mana syarikat beroperasi, selaras dengan permintaan dan keperluan pasaran,” katanya.
Melihat ke hadapan, beliau berkata syarikat tidak menghadkan pertumbuhan kepada kawasan tertentu di Malaysia.
“Walaupun kami telah mengenal pasti kawasan utama untuk pengembangan, seperti di Utara dan Pantai Timur. Kami tidak mengabaikan peluang pertumbuhan di kawasan Tengah dan Selatan, serta Malaysia Timur,” katanya.
Apabila ditanya tentang rancangan pengembangan antarabangsa pada masa hadapan, beliau menyatakan bahawa mereka terbuka kepada peluang di Asia Tenggara dan seterusnya.
“Buat masa ini, fokus utama kami adalah memastikan operasi domestik kekal kukuh dan berdaya tahan, namun kami terbuka kepada peluang tetapi tiada rancangan khusus buat masa ini,” katanya.-UTUSAN










