33% rumah siap tak terjual adalah lot bumiputera - Utusan Malaysia

33% rumah siap tak terjual adalah lot bumiputera

SEKTOR hartanah semakin rancak-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 33 peratus lot bumiputera masih tidak terjual walaupun setelah tiga tahun siap dibina, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

Presidennya, Ho Hon Sang berkata, ia berdasarkan tinjauan terhadap 162 responden terdiri daripada ahli Rehda yang menunjukkan hampir separuh daripada mereka mempunyai unit kediaman yang belum terjual setakat Jun tahun ini dan sebahagian besar adalah lot Bumiputera.

“Jumlah itu juga meningkat berbanding 31 peratus pada separuh kedua 2023. Saya percaya ini isu yang perlu ditangani oleh industri,” katanya dalam sidang akhbar Tinjauan Industri Hartanah Separuh Pertama 2024 dan Prospek Pasaran Separuh Kedua 2024 dan Separuh Pertama 2025 di Wisma Rehda di sini, semalam.

Mengulas mengenai kediaman siap tidak terjual secara keseluruhan, Hon Sang berkata, alasan utama kediaman tersebut tidak dapat dijual adalah kegagalan mendapat pembiayaan bank, permintaan yang rendah, permintaan yang rendah dan lot bumiputera.

Menurutnya, sebanyak 49 peratus daripada kediaman siap tidak terjual berusia sehingga 12 bulan, manakala 34 peratus melebihi tiga tahun.

“Sebanyak 46 peratus daripada responden melaporkan mempunyai harga unit siap yang tidak terjual pada RM500,000 atau ke bawah.

“Bagi jenis kediaman pula, kediaman servis meliputi 24 peratus unit siap tidak dijual, rumah teres dua hingga tiga tingkat (19 peratus) dan rumah bandar (14 peratus)

“Unit sedang dalam pembangunan yang tidak terjual pula adalah apartmen (25 peratus) apartmen servis (24 peratus) dan rumah teres dua hingga tiga tingkat (17 peratus),” ujarnya.

Menurut tinjauan itu, 69 peratus responden berdepan cabaran pembinaan pada separuh pertama tahun ini, dengan harga bahan binaan yang tinggi memberikan impak kritikal terhadap operasi perniagaan.

“Harga pasir meningkat kira-kira 15 peratus, manakala kaca naik 15 peratus dan konkrit 13 peratus. Kenaikan ini merangkumi lebih 10 peratus daripada kenaikan (jumlah harga) berbanding setahun yang lepas.

“Lebih 90 peratus daripada responden juga melihat peningkatan lebih tinggi pada harga bahan binaan berbanding tahun sebelumnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemaju mengekalkan prospek ‘neutral’ bagi pasaran hartanah untuk separuh kedua tahun ini, tetapi lebih optimis untuk separuh pertama 2025.

Ujarnya, pemaju akan berhati-hati untuk meningkatkan harga hartanah bagi separuh kedua tahun ini memandangkan 40 peratus daripada pembangunan hartanah kediaman yang dibangunkan tergolong dalam harga kawalan.

Katanya, ini termasuk projek perumahan di bawah skim seperti Rumah Selangorku, Residensi Madani dan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

“Kos untuk menjalankan perniagaan sudah semestinya semakin meningkat terutamanya harga bahan binaan yang meningkat, peningkatan Cukai Perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus dan kos logistik.

“Semua komponen ini akan menyumbang kepada kos pemaju. Bagaimanapun, ada sesetengah projek telah pun dilancarkan atau kontrak telah diberikan, jadi harga telah dikunci.

“Kebanyakan pemaju tidak pasti sama ada akan ada peningkatan. Namun begitu, jika ada sebarang peningkatan saya rasa tidak terlalu signifikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN