Triumph Speed 400: Mampu milik walau berjenama terkenal

Triumph Speed 400: Mampu milik walau berjenama terkenal

TRIUMPH Speed 400
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beberapa minggu yang lalu, saya telah menunggang uji ‘kembar tak seiras’ model Triumph 400cc ini iaitu Triumph Scrambler X 400.

Speed 400 ini lebih ditujukan kepada peunggang yang menginginkan imej retro, namun masih ‘bersulam’ teknologi terkini dan berjenama motosikal yang begitu sinonim dengan rekaan seumpamanya, iaitu Triumph.

Jika sebelum ini, para pencinta motosikal retro tempatan agak sukar untuk memiliki model-model Triumph sebelum ini kerana harga pasarannya yang agak tinggi.

Triumph adalah jenama daripada United Kingdom yang mempunyai sejarah dalam dunia motosikal global. Walau mereka telah membuat kilang pemasangan di Thailand sejak beberapa tahun yang lalu, namun harga pasaran seunit motosikal jenama ini masih agak kurang mampu dicapai oleh kebanyakan peminat tempatan.

Satu usaha sama yang dijalankan dengan pembuat motosikal India yang sekali gus dapat menghasilkan model Triumph yang mampu milik oleh kebanyakan pasaran Asia.

Maka dengan itu, terhasillah dua model ini yang mana satu daripadanya telah pun saya ketengahkan dalam ruangan ini.

REKA BENTUK FIZIKAL

Secara kasar, ia adalah sebuah motor street atau naked. Model-model seperti ini selalunya dipergunakan sebagai tunggangan harian.

Alasan Triumph menghasilkan jentera Speed 400 ini ialah selain membolehkan penunggangnnya sampai dari titik A ke titik B, ia menjanjikan keseronokan mengemudinya dalam tempoh perjalanan tersebut.

Secara fizikalnya, Speed 400 ini tampak ‘kurus’, terutamanya di bahagian tengah motosikal ini di mana pelana bahagian penunggangnya direka secara tirus di bahagian tangki minyaknya.

Perkara ini membolehkan peha penunggangnya lebih mampu diunjurkan ke bawah bagi membolehkan kedua-dua kaki penunggang dapat menjejaki permukaan bumi dengan lebih kemas.

Suspensi hadapannya, jenis terbalik tetapi tidak boleh dilaras, ternyata menjadi tarikan utama untuk model ini. Bersalut warna keemasan, menjanjikan tarikan dari segi rupa dan memberikan imej sebuah fork yang mahal dan eksklusif.

Pelana tunggalnya ternyata membawa legasi Triumph Speed Twin atau Speed Triple yang membawa konteks klasik dan diminati ramai. Begitu pun, saya tidak berupaya untuk menguji pelana ini dalam tunggangan jarak jauh. Maka saya tidak dapat mengesahkan sama ada adakah punggung anda selesa atau tidak jika menunggang Speed 400 ini dalam jangka masa sejam atau lebih.

Roda bersaiz 17 inci dan tayar berjenama Pirelli Rosso II menjanjikan kebolehan motosikal ini ditunggang dengan baik sama ada dalam keadaan jalan raya berliku atau pun lebuh raya. 

PRESTASI JENTERA

Pertama skali, enjin Triumph Speed 400 ini diwarnakan hitam pada hampir keseluruhannya. Selain menampakkan kemasan rekaannya jitu, ia turut menampilkan imej klasik tetapi teknologi yang relevan untuk digunakan masa kini.

Menggunakan sejukan cecair, empat lejang, DOHC, selinder tunggal, Triumph Speed 400 ini sebenarnya 398.15cc, menghasilkan kuasa 40PS @ 8,000 rpm dan kuasa tork 37.5Nm @ 6,500 rpm.

Turut menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik dan pengawal pendikit elektronik berjenama Bosch. Ternyata ini adalah antara pemadanan teknologi terkini dengan reka bentuk klasik yang dikatakan pada awal artikel ini tadi.

Sementara rekaan casisnya pula menggunakan rekaan hibrid batang keluli yang menggabungkan bahagian subframe yang dipasangkan secara berasingan.

PRESTASI PENUNGGANGAN

Sebagai sebuah motosikal jalanan, ia sudah tentu menjanjikan keberkesanan penunggangan dalam kota raya sibuk, tujahan kuasa yang diperlukan ketika menyelit antara barisan kenderaan yang sesak di jalan raya.

Kekuatan enam kelajuan yang terdapat pada Speed 400 ini ternyata mampu memudahkan pergerakan anda ketika dalam kesesakan jalan raya. Begitu juga apabila mula memasuki lebuh raya yang berlingkaran yang menghubungkan antara bandar dalam Lembah Klang ini.

Kelajuan dan kestabilan yang terhasil ketika penunggangan atas lebuh raya menjanjikan kepuasan menunggang. Walau tidak mempunyai keupayaan untuk mencapai kelajuan mencecah 200km/j, tetapi kelajuan melahunya dalam 140 hingga 150 km/j sudah cukup mengujakan.

Pengambilan selekoh-selekoh tajam dalam keadan penunggangan agresif perlu dilakukan dengan sedikit berhati-hati. Ini mungkin disebabkan berat keseluruhan jentera ini yang sekitar 170 kilogrm (kg) dan fizikalnya yang kurus dan ‘panjang’, menyebabkan perasaan sedikit bergoyang ketika dalam selekoh.

Namun saiz tayar 110/70-17 di hadapan dan 150/60-17 untuk belakang, dapat menampung kekurangan akibat goyangan dalam selekoh dikelajuan tinggi.

Isipadu tangki bahan api iaitu 13 liter saya rasakan agak mengecewakan sedikit kerana dari segi fizikalnya, tangki tersebut tampak besar. Begitu pun, jumlah isipadu tangki tersebut menghasilkan figura 3.5 liter untuk setiap 100 km. 

Sebagai tarikan terakhir, jentera Speed 400 ini hanya perlu di servis pada jadual berkala setiap 16,000 km. Triumph begitu yakin enjinnya tahan lasak sehinggakan menjamin enjinnya hanya perlu diselenggara setelah mencapai jarak tersebut.

KESIMPULAN

Gaya, mutu pembuatan, jenama, ternyata menepati sebuah motosikal Inggeris, walau ia sebenarnya di buat dari India.

Tambahan pula dengan faktor harga jualan sebelum kos insuransi, cukai jalan dan pendaftaran iaitu sebanyak RM26,900, cukup mengujakan sesiapa sahaja terutama peminat motosikal berkonsep retro.

Walau bagaimanapun, saya masih belum berpuas hati tentang ketahanannya setelah bertahun-tahun penggunaanya mahupun kos penyelenggaraannya. Ini adalah kerana jaminan perlu servis hanya selepas 16,000 km ternyata agak membuatkan saya terfikir, adakah selepas jarak tersebut, enjinnya akan mengalami kerosakan secara total? 

Mungkin dalam tempoh setahun ini, kita akan bakal mendapatkan jawapannya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN