Toyota Alphard Gen 4: Lebih baik, kekal mewah!

Toyota Alphard Gen 4: Lebih baik, kekal mewah!

TOYOTA Alphard Gen 4
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK ramai yang tahu bahawa Toyota menggunakan limosin mewah seperti BMW 7-Series dan Mercedes-Benz S-Class sebagai penanda aras dalam projek pembikinan minivan mewah popular, Toyota Alphard atau kembarnya, Vellfire.

Muncul sejak tahun 2002, Alphard dibina untuk menggantikan Toyota Granvia dan bila generasi kedua diperkenalkan dalam tahun 2008, Vellfire dihasilkan sebagai kembarnya yang lebih sporty.

Untuk generasi keempat, Alphard di Malaysia diberikan status super mewah sementara Alphard pula dijadikan sebagai varian pengenalan.

Model AH40 Alphard ini dilancarkan di Malaysia pada Oktober tahun lalu pada harga RM538,000.

Hanya satu varian sahaja ditawarkan oleh UMW Malaysia, iaitu Alphard Executive Lounge dengan enjin 2.4L 4-silinder turbo, menghasilkan 278PS dan 430 Nm. Transmisi pula ialah lapan kelajuan automatik.

Vellfire di Malaysia pula, sepadan dengan statusnya sebagai varian pengenalan, datang pada harga RM100,000 lebih rendah dan menggunakan enjin 2.5L 4-silinder tanpa turbo (sama seperti Vellfire generasi ketiga) dan transmisi pula ialah dari jenis CVT.

Reka bentuk Alphard terkini ini membuktikan evolusi dari generasi pertama. Siapa sangka bentuk kotak kasut ini mampu ditarah untuk menjadi sesuatu yang nampak premium dan membuatkan ramai tertoleh-toleh.

Garisan cermin di dinding tepi cukup menarik tetapi tidak keterlaluan sementara bahagian hadapan jelas nampak kegarangan, jauh lebih cantik dari model sebelum ini.

Seperti generasi-generasi sebelumnya, lampu hadapan Alphard kekal sebaris (Vellfire mempunyai lampu hadapan bertingkat). Saiz juga hampir sama kerana ia perlu mampu diparkir di dalam bangunan parkir automatik di Jepun.

Ruang dalam adalah satu alam yang serba mewah dan sangat berbeza dengan generasi terdahulu. Oleh kerana ia memakai lencana Executive Lounge, segalanya adalah yang terbaik.

Balutan kulit Nappa menghiasi ruang kabin dengan sistem audio JBL 15-pembesar suara.

Papan pemuka memuatkan skrin utama dengan saiz 14-inci sementara paparan meter juga menggunakan skrin TFT berwarna. Sistem Head-Up- Display atau HUD memang diambil dari Lexus, bersekali dengan sistem menu yang menggabungkan butang-butang di stereng.

Cukup mudah untuk digunakan dan mampu mengawal pelbagai fungsi dari set butang yang sama. Barisan tempat duduk kedua lebih mewah daripada sesetengah tempat duduk di dalam kabin kelas perniagaan dalam kapal terbang.

Lengkap dengan ciri Ottoman yang boleh dibaringkan seperti katil, pengurut belakang, meja tulis/makan, cermin muka serta kawalan jauh seperti telefon pintar untuk mengawal semua fungsi-fungsi itu.

Malah, ia boleh dijadikan pejabat bergerak yang cukup selesa, mungkin kerana itu ramai

pemimpin negara dan para korporat berjaya menggunakan Alphard sebagai kenderaan ‘wajib ada’ di rumah.

Pengalaman pemanduan selama empat hari membuktikan bahawa Toyota mahu fokus ke arah keselesaan dari kepuasan pemanduan. Mujur juga pada kelajuan tinggi di lebuh raya, Alphard ini stabil tanpa terasa terhuyung-hayang.

Selekoh radius besar di lebuh raya juga terasa yakin diambil oleh Alphard ini tetapi bila masuk ke jalan-jalan kebangsaan yang sempit dengan selekoh yang lebih tajam, sifat mirip tongkang beroda yang ada pada model-model Alphard selama ini mula menerjah masuk.

Ternyata, ia masih sebuah van besar yang tidak boleh dipaksa menari. Sistem gantungan MacPherson (depan) dan multilink (belakang) untuk Alphard ini sebenarnya ditala lebih lembut dari Vellfire yang sporty (tetapi dengan enjin lama masih digunakan, Vellfire pada hakikatnya tidak terlalu sporty).

Platform TNGA-K yang digunakan memang 50 peratus lebih kukuh dan kurang meliuk berbanding yang lama tetapi ia bukanlah untuk meningkatkan kualiti pemanduan yang agresif.

Platform itu digunakan untuk mengurangkan kadar getaran dan gegaran untuk kabin penumpang.

Hantaran tenaga pula menunjukan enjin T24A-FTS baharu ini jauh lebih bertenaga dari enjin 3.5L V6 yang digunakan sebelum ini. Sayangnya, tidak seperti enjin V6 yang mempunyai kadar

daya kilas yang ‘gemuk’, enjin ini memerlukan putaran enjin yang tinggi sebelum sistem turbo memuntah keluar tenaga untuk dihantar ke roda hadapan.

Apa yang berlaku ialah cara pemanduan yang kurang lancar bila tenaga yang lebih diperlukan untuk menggerakkan minivan seberat lebih dari 2.7 tan ini (dengan muatan). Nasib baik juga tukaran gear automatik denganlapan kelajuan itu cukup-cukup lancar dan senyap.

Penulis sebenarnya merasakan Toyota memang sudah berjaya menjadikan Alphard ini sebagai kenderaan pilihan utama untuk VVIP iaitu pasaran ia ditawarkan. Imej berprestij yang dibawakan oleh Alphard juga cukup untuk menjadikan ramai keluarga VIP memilihnya sebagai kenderaan keluarga yang mewah.

Cuma bagi pemandu yang gemarkan kenderaan dengan karektor yang sedikit agresif, Alphard ini mungkin kurang sesuai dan mengundang sindrom menguap setiap lima minit memandunya di lebuh raya.

Kia Carnival memberikan pemanduan yang lebih memuaskan dan enjin turbodiesel 2.2L Kia itu juga membantu ketika membuat pemanduan mendaki yang curam.

Masalah terbesar yang dialami oleh penulis bukanlah berkaitan dengan kualiti pemanduan agresif kerana motif Alphard ini dihasilkan untuk keselesaan, keselamatan dan ketahanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN