Titijaya, Bank Islam meterai MoU tawar pembiayaan rumah

Titijaya, Bank Islam meterai MoU tawar pembiayaan rumah di Damaisuria

LIM Poh Yit (dua dari kiri) bersama Mizan Masram (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU kerjasama strategik antara Titijaya dan Bank Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Titijaya Land Berhad (Titijaya) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) untuk mengukuhkan kerjasama strategik dan meluaskan akses kepada rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia.

Di bawah MoU tersebut, Bank Islam akan menyediakan penyelesaian pembiayaan untuk memenuhi keperluan unik pemilik rumah pada masa sekarang, menyediakan pembiayaan akhir kepada mereka untuk memiliki hartanah yang dibangunkan oleh Titijaya. 

Menurut kenyataan bersamanya, penyelesaian ini termasuk pakej pembiayaan khas untuk pembeli rumah pertama yang layak melibatkan Skim Jaminan Kredit Perumahan – Madani (SJKP-Madani). 

Skim tersebut akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang ingin membeli rumah di Damaisuria, projek bandar baharu kumpulan di Bukit Subang.

Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit  berkata, ini adalah satu daripada inisiatif Titijaya untuk menawarkan produk yang diperlukan oleh pembeli rumah di negara ini dan mengadaptasi kepada perubahan yang berlaku dalam pasaran hartanah. 

“Bersama, kami akan membuka peluang kepada lebih ramai golongan muda dan juga keluarga untuk membeli rumah di Damaisuria dan menetap di perbandaran yang meriah ini,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, Titijaya telah juga mengumumkan maklumat terkini tentang Damaisuria, projek bandar Preview 264 @ Seiring, iaitu projek terbaharu dalam Seiring Residensi, fasa pertama Damaisuria. 

264 @ Seiring melibatkan 264 unit pegangan bebas pangsapuri servis dalam bangunan menara dan dijangkakan mendapat permintaan yang baik kerana ia adalah projek rumah mampu milik dengan harga permulaannya ditawarkan daripada RM270,000 seunit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kumpulan Bank Islam Perbankan Runcit Kumpulan, Mizan Masram berkata, pihaknya teruja untuk mengukuhkan kerjasama dengan Titijaya melalui pemeteraian MoU ini. 

“Tawaran pembiayaan rumah kami yang terbaharu adalah yang paling kompetitif di dalam pasaran kini dengan tawaran serendah 3.80 peratus setahun.

“Lebih menarik, pelanggan yang memohon pembiayaan daripada Bank Islam untuk projek Damaisuria akan mendapat manfaat daripada pembiayaan sampingan melalui produk pembiayaan peribadi, menjadikan ia lebih mudah untuk membiayai perbelanjaan untuk ubah suai dan juga membeli perabot. 

“Penyelesaian komprehensif ini akan membolehkan pembeli rumah menyediakan ruang kediaman impian mereka dengan lebih selesa dan fleksibiliti dari segi kewangan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN