Nilai saham TNB dijangka terus kukuh - RHB Investment Bank

Nilai saham TNB dijangka terus kukuh – RHB Investment Bank

RHB Investment Bank mengekalkan saranan ‘beli’ kepada TNB dengan harga sasaran RM16.70 sesaham.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka terus menaik disokong peningkatan permintaan tenaga yang dipacu bilangan pusat data yang semakin banyak, menurut RHB Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan berkata, faktor lain termasuk pelaburan untuk bahagian penghantaran dan pengagihan (T&D) bagi mengukuhkan asas aset dan kunci kira-kira yang mantap untuk mengembangkan kapasiti tenaga boleh baharu (RE).

Katanya, TNB juga menggantikan loji janakuasa arang batu dengan aset-aset berasaskan gas.

“Setakat Jun (Disember 2023: 12.5 peratus), pegangan saham asing TNB menaik kepada 14.8 peratus, namun ia masih berada di bawah paras puncak 28.7 peratus yang direkodkan pada tahun 2016,” katanya dalam nota penyelidikan.

RHB Investment Bank berkata, saranan ‘beli’ dikekalkan dengan harga sasaran (TP) baharu mencecah RM16.70 daripada RM16.10 dengan potensi kenaikan harga saham 20 peratus dan kadar hasil dividen sekitar empat peratus untuk tahun kewangan 2025.

“TNB terus menjadi saham pilihan kami memandangkan ia berperanan sebagai proksi kepada usaha peralihan tenaga Malaysia di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“TNB juga sepatutnya terus menerima manfaat daripada usaha berterusan dalam menaik taraf aset-aset penghantaran dan pengagihan tenaga kerana pembinaan pusat data (DC) yang semakin rancak akan memperkukuh permintaan tenaga,” katanya. 

RHB Investment Bank juga tidak menolak kemungkinan yang perjanjian pembelian tenaga (PPA) bagi beberapa loji gas yang akan tamat tidak lama lagi akan diperbaharui.

Katanya, syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) berasaskan gas yang berpengalaman seperti TNB mungkin akan meraih kelebihan daripada peningkatan kapasiti gas tambahan dalam jangka panjang.

“Ini memandangkan sumber bahan api ini akan menggantikan penggunaan arang batu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN