PETALING JAYA: Mitsubishi Power, jenama solusi peralatan janakuasa elektrik daripada Mitsubishi Heavy Industries, Ltd. (MHI) menerima tempahan untuk turbin gas M701F dan turbin stim untuk loji janakuasa elektrik berkapasiti 500 megawatt (MW) di Sarawak.
Kontrak bekalan peralatan telah ditandatangani antara Mitsubishi Power dan Sinohydro Corporation Limited, kontraktor utama untuk projek ini.
Selain membekalkan peralatan teras, Mitsubishi Power akan menyediakan peralatan sokongan dan menghantar penasihat teknikal, yang merupakan aspek penting untuk menyokong pemasangan dan pengoperasian loji tersebut.
Turbin gas tersebut akan direka bentuk untuk pembakaran bersama gas asli dan hidrogen sehingga mencecah 30 peratus nisbah pengunaan hidrogen, menjadikannya fasiliti penjanaan kuasa tercanggih dan termoden di Sarawak.
Terletak di Miri, sebuah bandar di timur laut Sarawak, projek ini dimiliki dan dikendalikan oleh PETROS Power Sdn. Bhd., anak syarikat Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), syarikat minyak dan gas milik Sarawak.
PETROS akan membangunkan loji janakuasa ini dengan disokong oleh Sinohydro Corporation Limited sebagai kontraktor utama dan Mitsubishi Power sebagai pembekal peralatan utama.
Mitsubishi Power juga telah mengikat Perjanjian Penyelenggaraan Jangka Panjang (LTSA) dengan PETROS bagi memastikan prestasi operasi loji janakuasa yang optimum untuk operasi komersialnya.
Mesin penjana untuk loji janakuasa ini akan dikeluarkan oleh Mitsubishi Generator Co., Ltd., yang ditubuhkan pada 1 April 2024 melalui penggabungan divisi penjana kuasa MHI dan Mitsubishi Electric Corporation.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Mitsubishi Power Asia Pacific, Akihiro Ondo berkata, projek tersebut yang dilengkapi dengan turbin gas M701F sedia hidrogen, mengukuhkan komitmen kami untuk menyokong perjalanan Malaysia ke arah sifar bersih menjelang 2050.
Kami berterima kasih kepada PETROS atas kepercayaan yang diberikan, serta peluang untuk merealisasikan potensi hidrogen di Sarawak bagi memacu peralihan tenaga bersama rakan industri tempatan kami,” katanya.
Loji Janakuasa Miri akan menjadi fasiliti tunjang milik negeri di Miri, hab gas utama Sarawak dan sedang dibangunkan di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak yang menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.-UTUSAN










