PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), melalui anak syarikatnya, Prai Power Sdn. Bhd. (PPSB) memperoleh lanjutan setahun perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi Loji Janakuasa Prai (PPP) di Pulau Pinang.
Perlanjutan itu akan bermula pada 1 September 2024 bagi memastikan bekalan tenaga stabil dan wibawa memenuhi permintaan semasa yang semakin tinggi dan meningkatkan keselamatan tenaga dengan tenaga simpanan yang mencukupi.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pelaksanaan PPA itu adalah penyelesaian paling berdaya maju dari segi ekonomi dan terpantas untuk menyokong grid nasional, di samping membolehkan PPP meneruskan operasinya dalam baki perkhidmatannya.
“Ini mengukuhkan komitmen Malakoff menyokong negara dengan memastikan bekalan tenaga yang selamat, berpatutan dan mampan pada setiap masa.
“Malaysia menyasarkan meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) kepada 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Jadi, adalah amat penting mengimbangi faktor keselamatan, kebolehmampuan dan kemampanan yang merupakan elemen penting trilemma tenaga.
“PPP, single-shaft loji tenaga kitaran gabungan (CCPP) yang terbukti dan cekap, memainkan peranan penting dalam peralihan ini,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, dalam memanfaatkan baki hayat perkhidmatannya, PPP membolehkan penggunaan bahan api yang optimum, mengurangkan jejak karbon dengan kecekapan yang lebih tinggi dan kadar haba yang lebih rendah berbanding loji janakuasa arang batu.
“Rekod prestasi operasinya yang boleh dipercayai memastikan bekalan tenaga yang berterusan dan stabil untuk menyokong permintaan tenaga negara yang meningkat.
“PPP komited mematuhi peraturan alam sekitar dan mengurangkan jejak karbon melalui had pelepasan karbon yang ketat, pengurusan sisa yang berkesan, kecekapan tenaga dan pematuhan kepada pensijilan dan piawaian industri.
“Selain itu, ia sentiasa terlibat secara aktif dalam inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), termasuk pembangunan komuniti, program pendidikan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat setempat tetapi juga mengukuhkan hubungan dengan pihak berkepentingan,” katanya.
Tambah Anwar Syahrin, PPP juga telah mendapat pengiktirafan di atas komitmennya terhadap keselamatan loji janakuasa.
“PPP memenangi Anugerah Keselamatan Majlis Kebangsaan bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) pada 2004 dan 2017, serta ‘Gold Merit’ daripada Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) di antara 2018 dan 2022,” katanya. – UTUSAN










