PETALING JAYA: Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) sentiasa komited memastikan semua perniagaan dibawah Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) adalah sah, tulen serta mematuhi semua keperluan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Menurut kenyataannya, komitmen itu merupakan satu usaha berterusan yang ditegakkan, khususnya dalam memerangi pengubahan wang haram dan jenayah pembiayaan keganasan.
Jelasnya, ini memandangkan Malaysia adalah anggota Asia/Pacific Group on Money Laundering (APG) dan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF).
“Labuan FSA mengenakan peraturan yang ketat terhadap semua aktiviti perniagaan termasuk keperluan ketelitian dalam syarat kemasukan serta menjalankan pemantauan pengawasan secara berkala untuk memastikan bahawa pusat ini sentiasa diurus dengan baik.
“Antaranya, entiti Labuan sebagai institusi pelaporan diwajibkan untuk melaksanakan keperluan Kenali-Pelanggan Anda (KYC) dan mengemukakan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR).
“Ini sebahagian daripada kewajipan mereka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan juga kerangka kerja Anti-Penggelenaan Wang dan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) Labuan IBFC.
“Ini diperkukuhkan lagi dengan larangan jelas terhadap transaksi tunai di pusat ini,” katanya.
Selain itu, katanya, Labuan FSA secara aktif melibatkan diri dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang dan pihak berkuasa peraturan lain di peringkat nasional dan antarabangsa,
“Ini terutamanya dalam bidang pengawasan, penguatkuasaan, penyiasatan dan perkongsian maklumat memandangkan Labuan IBFC juga merupakan sebahagian daripada sistem kewangan Malaysia.
“Dalam hal ini, suruhanjaya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pelanggaran undang-undang dan peraturan Labuan IBFC, terutamanya berkaitan dengan keperluan AML/CFT, dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pesalah,” katanya.-UTUSAN










