PETALING JAYA: Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia mencatat lebihan RM3.0 bilion pada suku kedua 2024 dipacu oleh eksport bersih barangan, menjadikan jumlah keseluruhan bagi separuh pertama tahun 2024 sebanyak RM19.2 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, akaun kewangan berubah arah kepada aliran masuk bersih RM17.1 bilion, terutamanya disebabkan oleh aliran masuk yang lebih tinggi dalam pelaburan lain.
“Akaun barangan mencatatkan eksport bersih RM24.6 bilion pada suku kedua 2024 (ST2 2024), berbanding RM32.0 bilion pada suku sebelumnya.
“Eksport barangan meningkat 2.2 peratus suku ke suku kepada RM278.1 bilion dengan produk utama seperti elektrik dan elektronik (E&E), petroleum, minyak kelapa sawit dan produk berasaskan minyak kelapa sawit.
“Permintaan terhadap barangan ini meningkat khususnya dari pasaran Singapura, China dan Amerika Syarikat (AS). Dari segi import, Malaysia mencatatkan peningkatan 5.5 peratus daripada suku sebelumnya dengan jumlah RM253.5 bilion.
“Peningkatan ini didorong oleh import barangan perantaraan, khususnya bekalan perindustrian, alat ganti dan aksesori serta barangan penggunaan yang kebanyakannya diimport dari China, Singapura dan AS,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, akaun perkhidmatan menunjukkan prestasi yang menggalakkan dengan defisit lebih rendah, iaitu RM4.9 bilion berbanding RM7.3 bilion pada suku sebelumnya.
“Ini disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan pelancong asing di Malaysia, sementara perbelanjaan rakyat Malaysia di luar negara menurun.
“Peningkatan juga disumbang oleh lebihan dalam perkhidmatan pembuatan dan pengurangan defisit dalam telekomunikasi, komputer dan maklumat.
Eksport perkhidmatan meningkat 5.5 peratus suku ke suku kepada RM58.8 bilion, terutamanya daripada sektor perjalanan, pembuatan (E&E) dan pengangkutan (penumpang udara).
Tambahnya, import perkhidmatan turut meningkat 1.1 peratus kepada RM63.7 bilion, dipacu oleh bayaran dalam sektor pembinaan, caj penggunaan harta intelek dan pengangkutan.
Sementara itu, katanya, akaun pendapatan primer mencatatkan defisit yang lebih tinggi, sebanyak RM15.5 bilion berbanding RM8.8 bilion pada suku sebelumnya disebabkan oleh peningkatan pendapatan syarikat asing di Malaysia, khususnya dividen yang dibayar kepada syarikat induk.
“Sebaliknya, syarikat Malaysia di luar negara menjana pendapatan yang lebih rendah, terutamanya disebabkan pengurangan pendapatan dilabur semula.
“Akaun pendapatan sekunder pula mencatatkan defisit RM1.1 bilion pada suku ini berbanding lebihan RM0.3 bilion pada suku sebelumnya,” katanya.
Menurutnya, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran masuk bersih RM9.1 bilion pada suku kedua 2024, peningkatan daripada RM5.5 bilion pada suku sebelumnya, terutama aliran masuk dalam instrumen hutang.
“Sebahagian besar FDI disalurkan ke sektor pembuatan, diikuti oleh perkhidmatan, khususnya maklumat dan komunikasi, serta perdagangan borong dan runcit dengan sumber utama FDI dari Jepun, Singapura, dan Hong Kong.
“Pada masa yang sama, pelaburan langsung di luar negeri (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih RM5.3 bilion, terutamanya dalam ekuiti dan dana pelaburan saham serta instrumen hutang.
“Ia dengan aliran keluar tertumpu kepada sektor kewangan, elektrik, perlombongan dan pengkuarian dan pembinaan, kebanyakannya disalurkan ke Kanada, Kepulauan Cayman dan AS,” ujarnya.-UTUSAN










