PETALING JAYA: Firma penyelidikan menyemak naik pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2024 sehingga 5.0 peratus, susulan prestasi suku kedua yang lebih kukuh dari jangkaan.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pihaknya menyemak naik unjuran KDNK 2024 untuk Malaysia kepada 5.0 peratus daripada 4.8 peratus sebelumnya.
Katanya, pengembangan ekonomi dijangka dapat dikekalkan pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan ketibaan pelancong yang lebih tinggi, serta langkah pendapatan sokongan seperti kenaikan gaji kakitangan awam dan pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Peningkatan berterusan dalam aktiviti perdagangan juga dijangka meningkatkan pertumbuhan KDNK, dibantu oleh kesan asas yang rendah dan pemulihan beransur-ansur dalam sektor teknologi global.
“Selain itu, kemajuan berterusan dalam projek berbilang tahun dan rancangan pelaburan yang kukuh, seperti yang ditunjukkan oleh kelulusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terhadap pelaburan bernilai RM83.7 bilion pada suku pertama, dijangka menyokong pertumbuhan pelaburan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun ini kepada 4.7 peratus daripada 4.4 peratus sebelum ini, didorong prestasi suku kedua yang lebih kukuh daripada jangkaan.
“Ini sepadan dengan pertumbuhan 5.9 peratus tahun ke tahun, kadar terpantas dalam enam suku dan lebih pantas daripada ramalan 5.4 peratus kami atau jangkaan konsensus sebanyak 5.8 peratus.
“Ramalan kami yang dikemas kini akan berada di julat atas unjuran kerajaan iaitu 4.0 hingga 5.0 peratus,” katanya.
BMI berkata, penggunaan swasta melonjak kepada 6.0 peratus tahun ke tahun pada suku kedua daripada 4.7 peratus pada suku pertama 2024, menyumbang 3.6 mata peratusan kepada pertumbuhan tajuk utama.
Bagaimanapun, BMI menjangkakan sektor luaran semakin lemah pada separuh kedua 2024 disebabkan oleh aktiviti ekonomi yang perlahan di Amerika Syarikat (AS) dan China, yang bersama-sama menyumbang lebih 25 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.
“Ini boleh memperlahankan pertumbuhan Malaysia kepada 4.6 peratus pada 2025. Risiko kepada unjuran pertumbuhan adalah terutamanya menurun, terutamanya jika ekonomi China lebih perlahan daripada jangkaan,” ujarnya.
Minggu lalu, ekonomi Malaysia diumumkan berkembang 5.9 peratus pada suku kedua 2024, melepasi unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 5.8 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, KDNK suku kedua itu disokong terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah yang lebih kukuh di tengah-tengah keadaan pasaran buruh yang positif dan sokongan dasar yang lebih baik.-UTUSAN










