PETALING JAYA: Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencapai pertumbuhan tertinggi baharu dalam 52 minggu, naik sehingga 29.45 mata kepada 1,653.35 semasa waktu dagangan pada Isnin.
Pada pukul 5 petang semalam, FBM KLCI ditutup pada 1,646.59, naik 22.69 mata berbanding 1,623.90 pada penutup Jumaat.
Indeks dibuka tinggi pada 1625.14 mata.
Pertumbuhan didorong oleh kenaikan kukuh dalam saham perbankan, apabila pelabur memperoleh saham dalam saham wajaran tinggi indeks sementara menunggu pengumuman pendapatan dalam dua minggu akan datang.
Perkembangan positif ini juga muncul selepas pengumuman pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku kedua sebanyak 5.9 peratus.
Faktor ini dilihat menarik minat pelabur terhadap prestasi bank sebagai proksi kepada pertumbuhan ekonomi.
Indeks Perkhidmatan Kewangan Bursa Malaysia berwajaran tinggi terhadap bank mencecah paras tertinggi baharu pada hari Isnin.
Indeks itu yang turut menjejaki broker saham, bank pelaburan dan syarikat kredit naik 505.51 mata atau 2.74 peratus kepada 18,925.23.
Kesemua 10 bank tersenarai mendapat keuntungan pada hari Isnin.
Hong Leong Financial Group Bhd. muncul sebagai saham paling untung ketika ditutup semalam pada RM17.84 sesaham, naik 0.6 sen, manakala Hong Leong Bank Bhd. naik 2.76 peratus kepada RM20.10 sesaham.
Malayan Banking Bhd. (Maybank) dan CIMB Group Holdings Bhd. masing-masing ditempat tiga dan empat dengan kenaikan 3.31 peratus kepada RM10.60 sesaham dan 4.05 peratus kepada RM7.97 sesaham.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pertumbuhan positif KDNK sebanyak 5.9 peratus yang melepasi unjuran awal menjadi indikator kepada perbelanja domestik yang semakin meningkat.
Katanya, permintaan barangan tempatan dari China juga akan mendorong perniagaan untuk membuat pinjaman, sekali gus menjadikan saham bank semakin menjadi pilihan pelabur.
“Bank Negara Malaysia (BNM) ada memberitahu yang jumlah kelulusan pembiayaan bank meningkat enam peratus setiap bulan.
“Oleh itu, prospek bank semakin meningkat. Rakyat negara ini juga sudah mula berbelanja dengan kadar inflasi yang terkawal,” katanya kepada Utusan Malaysia.-UTUSAN










