PETALING JAYA: emart24, kedai serbaneka Korea terkenal menyasarkan membuka 17 lagi cawangan di Pantai Timur tahun ini berikutan permintaan pelanggan yang tinggi terhadap makanan dan minuman street food Korea pada harga berpatutan serta diperbuat daripada ramuan halal.
Ketua Pegawai Eksekutif emart24 Holdings Sdn. Bhd., Vuitton Pang berkata, pihaknya teruja dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada pelanggan Malaysia, terutamanya dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Kami amat bersyukur dengan sambutan hangat kepada emart24 dan dengan itu kami ingin melayan pelanggan kami di mana sahaja mereka berada, termasuk bandar-bandar kecil.
“emart24 merancang untuk menambah jumlah cawangannya di Pantai Timur daripada 28 kepada 45 cawangan menjelang akhir tahun ini yang turut akan mewujudkan ratusan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.
“Cawangannya di Pantai Timur kini melayani hampir 300,000 pelanggan setiap bulan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, emart24 merancang untuk menggandakan jumlah cawangannya di Terengganu daripada tujuh kepada 15 cawangan menjelang akhir tahun ini.
“Bagi di Kelantan pula, kami akan menambah enam lagi cawangan selain 14 cawangan yang sedia ada di sana, manakala Pahang, kami telah mengenal pasti tiga lokasi baharu yang menjadikan jumlah 10 cawangan menjelang akhir tahun ini,” katanya.
emart24 kini mempunyai 65 cawangan di Malaysia dan merancang untuk mengembangkan rangkaiannya kepada 300 cawangan dalam tempoh lima tahun.
“Dengan kualiti yang konsisten serta makanan dan minuman street food Korea pada harga berpatutan yang disajikan dalam suasana moden dan selesa, kami yakin dapat memenuhi cita rasa dan pilihan pelanggan Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, emart24 dimiliki oleh Shinsegae Group, peruncit terbesar di Korea Selatan dan jenama kedai serbaneka yang paling pesat berkembang di sana dengan lebih daripada 7,000 cawangan dalam pelbagai format dan saiz kedai.
emart24 memasuki pasaran Malaysia yang juga merupakan pasaran luar negara pertamanya, pada 2021 dengan mengguna pakai slogan Rasa Korea, Hari Ceria, untuk menggambarkan jenamanya sebagai destinasi street food Korea yang lazat bagi menceriakan hari pelanggan.
Antara menu popular lain adalah Cupbap, sosej jagung, ayam goreng korea bersos, minuman pouch dan ramyun yang boleh dimasak sendiri oleh pelanggan di dalam kedai.-UTUSAN










