PETALING JAYA: Bursa Malaysia mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh 44 bulan atau hampir empat tahun, didorong oleh sokongan belian berterusan dalam kebanyakan saham kewangan mewah dan saham wajaran tinggi.
dalam dagangan semalam, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka 5.48 mata lebih tinggi kepada 1,657.77 dan mencapai paras kemuncak pada 1,681.37.
Indeks kemudian ditutup tinggi pada 1,675.24, naik 22.95 mata.
FBM KLCI melepasi paras tertinggi dalam tempoh 44 bulan sebelum ini iaitu 1,674.35 yang direkodkan pada 17 Disember 2020.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik 18 sen kepada RM10.88, Public Bank meningkat sembilan sen kepada RM4.77, CIMB menambah 41 sen kepada RM8.34 dan Hong Leong menokok lapan sen kepada RM14, serta RHB Bank naik 28 sen kepada RM18.46.
Bagi kalangan kaunter paling aktif, Luster Industries Berhad melonjak 70 sen kepada 9.00 sen, Public Bank menambah 15 sen kepada RM4.80, manakala Notion naik -0.1 sen kepada 9.45 sen, Vetece Holdings Berhad meningkat 1.05 sen kepada 4.10 sen dan MY E.G Services Berhad turut naik 0.35 sen kepada 9.20 sen.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi Bursa Malaysia itu dilihat melakukan lonjakan tertinggi sejak Disember 2020.
“Ini disebabkan oleh belian bersih pelabur asing dan merupakan dua bulan berturut-turut mereka dilihat mencatatkan belian bersih yang tinggi.
“Pada Julai, belian bersih yang dicatatkan adalah RM1.4 billion,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Afzanizam, beberapa bank pelaburan global telah mula menyemak semual penarafan mereka terhadap Malaysia.
“Terbaharu, Nomura telah menaikkan penarafan Malaysia kepada ‘wajaran tinggi’ yang menandakan isyarat belian terhadap instrument pasaran modal kepada para pelanggan mereka yang rata-rata terdiri daripada pelabur-pelabur institusi.
“Justeru, kita bakal menyaksikan kenaikan Indeks penanda aras FBM KLCI yang mungkin berterusan.
“Ini disebabkan oleh minat terhadap naratif pertumbuhan ekonomi Malaysia dan dibantu dengan jangkaan pengurangan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) yang bakal mengecilkan perbezaan diantara Fed Fund Rate (FFR) dan dasar kadar semalaman (OPR),” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata sentimen tempatan semakin baik dengan peningkatan pendapatan korporat, ekonomi kukuh, lebih banyak kontrak pembinaan terutamanya di pusat data dan pengukuhan nilai ringgit.
“Semua faktor ini mendorong pasaran untuk diniagakan lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










